“Saya tidak bercakap memperkecilkan pengorbanan ibu dan ayah membesarkan anak-anak mereka, kerana kehadiran anak amat mereka nantikan setelah berkahwin. Malah ada suami kahwin lagi kerana inginkan zuriat yang menjadi kebanggaan mereka. Tetapi setelah anak itu lahir, belum tentu anak itu boleh membahagiakan hidup mereka, baik ketika mudanya, atau setelah tua nanti.’’ Itu cerita Shaliza dalam e-mel pendeknya dan ketika ditemui baru-baru ini.

“Apa yang saya ceritakan ini bukan bertujuan mengumpat, tetapi untuk beri kesedaran kepada ibu bapa, didiklah anak-anak lelaki dan perempuan sama rata, jangan bezakan antara mereka, khususnya antara anak bijak pandai dengan anak yang kurang pandai sambil mengharap anak yang lebih pandai dan bijak itu boleh membantu kita bila tua nanti. Sebaliknya yang tak punya harta dan tidak pandai itulah yang berkorban menjaga anda ketika tua dan nanti.