Fenomena Nasi Lemak Pondan, rezeki makin murah

Selepas Nasi Lemak Anak Dara dan Nasi Lemak Bujang, kini tiba pula giliran Nasi Lemak Pondan mencetuskan fenomena di kalangan rakyat Malaysia.

Fenomena Nasi Lemak Pondan

Fenomena Nasi Lemak Pondan

Gerai yang baharu beroperasi selama tujuh hari itu dikendalikan oleh transgender bernama Jojie Kamaruddin yang mahu merahsiakan umurnya.

Selain nama yang unik, rasa hidangan yang sedap menjadi ramuan gerai milik Jojie menjadi tular hanya dalam masa beberapa hari.

Walaupun ada yang memberi komen negatif, ia tidak menghalang dia meneruskan perniagaan.

 

“Jika saya menamakan gerai saya Nasi Lemak Dodi, orang ramai masih akan bersorak pondan.

“Apa juga nama yang saya gunakan sama ada Sally atau Milah pastinya orang tetap panggil saya pondan. Jadi lebih baik saya gunakan ia sebagai nama gerai ini ,” katanya.

Walau apa pun gimik yang digunakan, harus diakui bahawa rasa nasi lemak dan pilihan lauk yang disediakan sememangnya sangat menyelerakan.

Pada masa ini Jojie menghidangkan nasi lemak biasa dengan menu asas seperti telur, ikan bilis, timun yang dijual pada harga RM1.80 sebungkus.

Namun jika ditambah sambal sotong, ayam masak merah, sambal paru atau ayam goreng harganya ialah sehingga RM4.80.

Kata Jojie, idea membuka gerai itu ialah daripada ibunya sendiri yang telah menjual nasi lemak selama lebih 30 tahun.

Cerita Jojie, ibunya membesarkan semua 15 adik beradiknya dengan perniagaan itu kerana bapa mereka terpaksa bersara awal akibat sakit.

Walaupun dia bekerja sebagai pereka fesyen dan perunding perkahwinan, Jojie memutuskan untuk membuka gerai nasi lemak dengan bantuan adik-beradiknya bagi mendapatkan pendapatan tambahan.

“Sambutannya sangat baik. Semalam, kami menjual 10kg nasi sehingga pukul 3 petang walaupun merancang untuk membuka gerai dari 10 pagi hingga 6 petang,” katanya.

Selepas minggu pertama berjaya dilalui dengan baik, Jojie mendermakan 100 bungkus nasi lemak ke masjid kawasan kejiranannya sebagai tanda bersyukur.

Gerai Nasi Lemak Pondan milik Jojie yang terletak di Jalan Sri Permaisuri, Cheras dibuka dari Isnin hingga Jumaat.
Sumber: MStar



Sumber Fenomena Nasi Lemak Pondan, rezeki makin murah

Post a Comment

Previous Post Next Post