2:20:00 AM

Sekumpulan tiga lelaki termasuk seorang remaja yang aktif melakukan pecah rumah di daerah ini, Nilai dan Rahang, Negeri Sembilan akhirnya tumpas selepas semua mereka ditahan awal pagi kelmarin.

Bertindak atas maklumat Ops Pecah Rumah, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Khas D9 Bukit Aman menahan tiga lelaki tempatan terbabit yang sedang bersembunyi di sebuah rumah di Taman Jasmin, Jalan Semenyih, di sini.

Sumber berkata, dalam kejadian terbaru, 14 Mac lalu, tiga lelaki itu dipercayai memecah masuk rumah pegawai Risikan dan Operasi Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di Semenyih dan melarikan beberapa barangan peribadi mangsa selain wang tunai.

Menurutnya, susulan kejadian itu, satu ops khas dilancarkan bagi mengesan kumpulan suspek sebelum mereka berjaya ditahan jam 6 pagi kelmarin.

“Seorang daripada tiga suspek itu yang dipercayai dalang utama memiliki 10 rekod jenayah lampau termasuk kes samun dan kesalahan dadah.

“Polis turut merampas sebuah kereta Toyota Vios yang dilaporkan hilang di Mantin, Negeri Sembilan awal tahun ini,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas seutas jam tangan, sebuah telefon bimbit dan beberapa kad bank dipercayai hasil samun.

“Hasil penahanan tiga suspek itu, polis dipercayai berjaya menyelesaikan lebih sembilan kes samun di sekitar Kajang, Semenyih, Rahang dan Nilai.

“Suspek bersama barang rampasan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang untuk tindakan lanjut,” katanya.

 

Sumber: Harian Metro



Sumber Penyamun salah pecah rumah, tersamun rumah perisik polis

0 comments:

Post a Comment

loading...