9:29:00 PM
Bagi peminat filem fiksyen mengenai angkasa lepas, tentunya Life adalah antara yang ditunggu-tunggu.

Membariskan beberapa nama besar di Hollywood seperti Jake Gyllenhaal, Rebecca Ferguson, Ryan Reynolds, Olga Dihovichnaya, Hiroyuki Sanada dan Ariyon Bakare, filem arahan pengarah Daniel Espinosa ini ternyata menampilkan kelainan dan kejutan.

Life berkisar mengenai enam kru Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) iaitu Dr David Jordan, Miranda Bragg, Roy Adams, Sho Kendo, Hugh Derry dan Katerina Golovkin yang baru saja menemui sel hidupan tunggal dari planet Marikh.

Bagaimanapun, ketika menjalankan kajian ke atas sel yang digelar Calvin itu, ia ‘hidup’ sekali gus menyebabkan huru-hara apabila ia mula menyerang kru dan pusat angkasa itu.

Sedikit sebanyak filem Life mengingatkan kita kepada filem Apollo 18 yang pernah ditayangkan pada 2011.

Bezanya, dalam Apollo 18 ia memaparkan batu dari angkasa yang menyerang kru kapal angkasa.

Keenam-enam mereka bertarung dan berkorban nyawa untuk menyelamatkan stesen itu, sekali gus menghalang sel makhluk asing itu ke bumi.

Bagi Ryan, filem ini benar-benar berbeza dan tawaran untuk berlakon dalam Life adalah seperti impian yang menjadi kenyataan.

“Tawaran ini sama seperti impian menjadi kenyataan dan memang ditakdirkan untuk saya. Sukar untuk mencari karya hebat sebegini dalam dunia perfileman masa kini.

“Karya hebat ini memaparkan tekanan sebenar yang dapat dirasakan, bukan sahaja kerana ia adalah antara babak dalam filem, tetapi bagaimana penonton meletakkan situasi dalam kesemua enam karakter yang dipaparkan,” katanya.

Menurutnya, ia menjadi lebih mencabar apabila perlu menzahirkan situasi sebenar kru yang menetap di ISS.

“Ia bertambah sukar apabila mengambil tempat atau latar belakang ISS apabila kehidupan manusia adalah elemen menarik. Ia sangat mencabar,” katanya.

Dia juga memaklumkan kebanyakan babak memerlukan mereka memakai wayar bagi menampakkan kesan seperti antigraviti.

“Ada babak yang memerlukan kami memakai wayar dan ada yang tidak. Banyak kajian dilakukan untuk menampakkan situasi kami itu nampak seperti keadaan sebenar di angkasa lepas,” katanya.

Bagi Jake, keenam-enam mereka menjiwai dan menampilkan sisi semula jadi dan tidak nampak dibuat-buat dalam Life.

“Ia memaparkan sikap sebenar manusia ketika berada dalam situasi yang penuh tekanan. Jadi, kami hanya beraksi dalam babak tanpa perlu dibuat-buat kerana itu adalah reaksi sebenar,” katanya.

Filem Life akan ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 23 Mac ini.



Sumber Sel hidupan Marikh buat huru-hara

0 comments:

Post a Comment

loading...