Cerita ‘memasak’ punca kartunis Ujang dipecat komik Upin Ipin

Kartunis Ujang diberhentikan berhubung kemerosotan jualan komik Upin dan Ipin, termasuk “cerita memasak” dalam majalah tersebut.

Penerbit komik Upin dan Ipin, dua watak animasi popular, memecat kartunis Ujang sebagai penasihat susulan jualan merosot. — Foto ihsan Facebook/Upin & Ipin

Menafikan memecat Ujang, kartunis terkenal ketika bersama Gila-Gila dan Ujang, pemilik animasi itu berkata komik tersebut “menyimpang”, lapor Malaysiakini.

Burhanuddin Md Radzi, pemilik hak cipta Upin dan Ipin, berkata tindakan terhadap kartunis itu diambil selepas pertemuannya dengan penerbit komik.

“Sejak dua bulan lalu isi kandungan [komik] Upin dan Ipin banyak menyimpang, kami dapati ia tidak mempunyai kaitan dengan kanak-kanak malahan terdapat cerita memasak pula di dalamnya,” katanya, pemilik Les’ Copaque Productions.

Dalam perbincangan dengan penerbit komik Tunku Maziah Tunku Mukhtar, yang mengambil Ujang sebagai penasihat, Burhanuddin mendakwa kartunis itu menyarankan kandungan dikekalkan.

“Sebagai pengeluar komik, dia patut bagi cadangan bagaimana hendak naikkan edaran.

“Tetapi apabila dia balik dan kembali semula selepas itu, dia memberitahu, penasihat kata jangan ubah apa-apa.

“Kami tidak suruh [arah pecat], tetapi kalau sudah tidak boleh menasihat, tidak perlu jadi penasihat.

“Itu yang dia balik dan buang Ujang dalam tempoh 24 jam,” kata Burhanuddin kepada portal itu.

Beliau mendakwa tidak mengetahui pelantikan dan peranan Ujang, nama glamor Ibrahim Anon, selama enam tahun di syarikat berkenaan Nyla Sdn Bhd.

Nyla menerbit bahan bacaan bercetak yang menggunakan cerita dan watak daripada siri animasi Upin dan Ipin dengan izin berlesen Les’ Copaque.

Selepas diberhenti melalui pesanan ringkas di telefon, kata Ujang kepada Malaysiakini, beliau merayu penerbit tetapi tidak dilayan.

Malah dakwanya pula, Les’ Copaque mahu mengambil alih operasi Nyla Sdn Bhd dengan memberi tekanan kepada penerbitnya.

Menurut portal itu lagi, mesej ringkas yang dikirim kepada Ujang menyatakan pemilik asal Upin dan Ipin “mengawal segala-galanya” dan penerbit komik hanya akur pada permintaan mereka.

Sumber: Projek MMO



Sumber Cerita ‘memasak’ punca kartunis Ujang dipecat komik Upin Ipin

Post a Comment

Previous Post Next Post