Gadis Berseluar Pendek Dihalang Masuk Hospital



KUALA LUMPUR: Selepas insiden membabitkan seorang wanita yang terpaksa memakai kain sarong ketika berurusan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) baru-baru ini menjadi viral, kini timbul pula insiden seorang gadis terpaksa memakai tuala sebelum dibenarkan masuk ke Hospital Sungai Buloh.
Perkara tersebut dikongsi gadis berkenaan di laman sosial Facebooknya, Nisha Daddygal pada 21 Jun lepas.
Menurutnya, kejadian tersebut berlaku pada 16 Jun lalu ketika dia yang berseluar pendek datang ke hospital berkenaan untuk melawat pesakit sebelum dihalang pengawal keselamatan yang bertugas dari memasuki hospital itu.
Susulan itu, Nisha menyatakan ayahnya terpaksa bertindak meminjam tuala pesakit untuk diberikan kepadanya.
“Apabila saya sampai di pintu masuk (hospital) beberapa orang pengawal menghalang saya kerana saya memakai seluar pendek.
“Saya tiada pilihan, bapa saya terpaksa pergi ke wad dan meminjam tuala pesakit (untuk) dipakai bagi menutupi lutut, selepas itu pengawal berkenaan membenarkan saya masuk,” tulisnya dalam entri berkenaan.
Dakwa Nisha lagi, pengawal itu memaklumkan bahawa arahan membabitkan etika pemakaian dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan yang perlu dipatuhi.
“Semua wanita, sila ambil perhatian untuk tidak memakai apa-apa pakaian di atas paras lutut jika melawat Hospital Besar Sungai Buloh..,” tulisnya.
Sementara itu, berdasarkan laporan sebuah portal berita hari ini, pihak hospital berkenaan mengesahkan kejadian tersebut.
Rata-rata pengguna media sosial menyatakan persetujuan yang mana orang ramai perlu mematuhi etika pemakaian yang telah ditetapkan.

Post a Comment

Previous Post Next Post