Salah satu perkara menarik mengenai Ramadan yang berlaku dalam masyarakat kita apabila ramai yang berbicara waktu Maghrib, sesuatu yang mungkin kita tidak ambil kisah sangat dalam bulan lain.
Sebabnya? Mudah sahaja. Waktu Maghrib menandakan masuknya waktu berbuka puasa untuk semua muslim.
Namun, adakah anda tahu mereka yang tinggal dan bekerja di bangunan Burj Khalifa di Dubai melalui tiga waktu berbuka yang berbeza walaupun berkongsi satu bangunan!
Burj Khalifa ialah bangunan tertinggi di dunia dengan ketinggian 829.8 meter dibuka pada Januari 2010.
Bagi mereka yang berada di tingkat atas sering menyaksikan matahari masih lagi kelihatan walaupun ia telah terbenam sepenuhnya di seluruh hub pelancongan dan perlancongan Teluk itu
Menurut sarjana dan penguatkuasa Islam di sana, tempoh berpuasa berakhir apabila seluruh matahari tidak lagi kelihatan di kaki langit.
"Oleh itu, mereka yang tinggal di tingkat atas belum boleh berbuka puasa seperti yang lain di bandar dan terdapat perbezaan masa selama dua minit," kata Mufti Dubai Ahmed Abdul Aziz al-Haddad.
Seorang lagi tokoh agama Dubai, Mohammed Al-Qubaisi dilaporkan menyatakan mereka yang berada di atas tingkat 80 perlu berpuasa lebih dua minit manakala mereka di tingkat 150 dan ke atas perlu menunggu selama tiga minit sebelum berbuka.