Lapor Polis Selepas Terima Aduan Guru Ada Murid Tidak Bermaya - Saksi


Lokasi Lautan Segi Tiga Bermuda tidak asing dalam kalangan masyarakat dunia kerana ia menyimpan 1,001 cerita misteri seperti kehilangan kapal-kapal yang melalui perairan lautan tersebut.
Malah, ada yang berpendapat kehilangan kapal-kapal tersebut berpunca daripada kejadian yang melangkaui akal fikiran manusia dengan membabitkan kejadian mistik, paranornal dan melampaui hukum fizik.
Arus Teluk telah mengalir melalui Segi Tiga Bermuda selepas meninggalkan Teluk Mexico dan ianya sekuat lima hingga enam knot. Kekuatan arus ini berkemungkinan memainkan peranan dalam beberapa kehilangan kapal di situ kerana telah berlaku beberapa kejadian ribut mengejut dan ianya tidak mustahil sekiranya kapal karam dan tenggelam tanpa dikesan.
Juruterbang wanita pertama yang terbang sendirian merentasi Laut Atlantik dilaporkan hilang pada 2 Julai 1937. Diikuti pada 5 Disember 1945, sebuah pesawat yang digunakan untuk tujuan latihan penerbangan juga hilang di kawasan sama.
Penerbangan Flight 19 ini melalui satu fenomena luar biasa dimana bacaan kompas bergerak pelik. Ada pihak menganggap insiden kehilangan Flight 19 sukar diterima akal kerana cuaca pada ketika itu begitu baik sekali dan pesawat dikendalikan oleh juruterbang berpengalaman, Leftenan Charles Carroll Taylor.
Laporan rasmi yang disediakan telah menambah kebingungan ramai kerana berstatus ‘punca tidak diketahui’. Lama-kelamaan, perincian-perincian penting mulai hilang.
Cuaca yang tenang ditukar menjadi bergelora dan Taylor kononnya dikatakan gagal mengendalikan Flight 19, berdasarkan sejarah beliau yang pernah sesat membawa pesawat di kawasan selatan Florida.
Flight 19Flight 19
Contoh terakhir, satu kemalangan melibatkan kapal laut Amerika Syarikat, USS Cyclops berlaku sehingga menyebabkan kehilangan jiwa terbesar dalam sejarah Tentera Laut Amerika Syarikat.
USS Cyclops dibawah kendalian Leftenan Commaner G.W Worley lenyap secara tiba-tiba tanpa dapat dikesan bersama 306 orang anak kapal pada 4 Mac 1918 sebaik sahaja berlayar daripada Pulau Barbados.
USS CyclopsUSS Cyclops
Pegawai Navigasi, Faris menjelaskan dia sudah berlayar membawa kargo melalui kawasan Lautan Segi Tiga Bermuda sejak tahun 2009 lagi dan setakat ke hari ini tidak pernah sekalipun terjadi sebarang kejadian aneh yang sering diperkatakan oleh masyarakat dunia.
Sejak dahulu lagi urusan perkapalan merupakan aktiviti yang dilakukan oleh para pedagang untuk membawa bahan-bahan mentah dan lain-lain komoditi dari koloni yang bertaburan ke negara-negara imperialis.
“Urusan perkapalan pada waktu itu bergantung sepenuhnya pada teknologi kompas magnetik dan pemerhatian objek untuk menentukan kedudukan kapal. Radar pula berperanan sebagai penentu kedudukan global dan kedudukan radio pula ketika itu masih lagi dalam peringkat awal, 
“Sistem cuaca di kawasan Bermuda sehingga kini sememangnya terkenal dengan laluan hurikan bermusim yang sentiasa membadai persisiran pantai Amerika dan Kepulauan Carribean.
"Ia bukan perkara yang misteri atau pelik kerana dahulu belum ada satelit cuaca angkasa lepas untuk mengesan ribut tropika. Makanya, tidak hairan jika banyak kapal yang karam tanpa dikesan,
“Dulu kapal yang berlayar hanya dilengkapi dengan radio dan jangkauan jaraknya adalah terhad. Sekiranya berlaku kecemasan, hanya kapal-kapal yang berada berdekatan sahaja boleh menerima siaran yang dihantar.
"Lautan Segi Tiga Bermuda yang kononnya dahulu disebut ‘Lautan Iblis’ tidak lagi misteri dengan adanya perkembangan dan kemajuan teknologi komunikasi serta navigasi,
“Kapal serta pesawat sudah dapat melalui ‘Lautan Iblis’ ini dengan selamat tanpa perlu risau wujudnya gerbang neraka yang akan terbuka dan menelan mereka di samudera,” katanya sewaktu dihubungi Malaysian Digest.
Tahukah anda selain Segi Tiga Bermuda di Lautan Atlantik, wujud juga lautan yang seakan-akan menyerupai Segi Tiga Bermuda iaitu Lautan Segi Tiga Formosa. Ia merupakan titik pertemuan di antara air panas dan sejuk yang terletak 145 kilometer di Timur, Dataran Cina.
Segi Tiga Formosa juga telah menelan banyak nyawa di situ dan dianggap sebagai ‘kubur pesawat’. Malapetaka yang melibatkan kapal laut serta pesawat berlaku sejak tahun 1990 sehingga pemerintah Jepun menghantar 31 orang pakar ke kawasan tersebut menaiki Kapal Kawamari.
Malangnya, Kapal Kawamari itu turut lenyap ditengah-tengah Lautan Segi Tiga Formosa dan kesemua alat eletronik turut tidak boleh diguna pakai. Menurut sumber, lautan itu telah banyak memperlihatkan kejadian-kejadian aneh seperti penampakkan kapal hantu, suara-suara aneh yang bergema dan terperangkap dalam ruang waktu berbeza. 
Lautan Segi Tiga Masalembo di Indonesia juga tidak ketinggalan menjadi sebuah lautan misteri dan menelan banyak nyawa manusia.
Masih ingatkah kita pada nahas pesawat ‘Adam Air’ pada tahun 2007?. Pesawat malang itu ditemui terhempas di Lautan Segi Tiga Masalembo bersama 96 penumpang dan enam anak kapal.
Pada 27 Julai 2007 sebuah kapal laut KM Igar Mas ditemui karam di tengah Lautan Segi Tiga Masalembo itu, diikuti pada 16 Ogos 2007, giliran Kapal KM Sumber Awal pula berlaku di lokasi sama. Ia sukar dianggap sebagai satu kebetulan di mana malapetaka terus berlaku pada tahun yang sama dan jarak masa yang tidak jauh.
Terbaru pada 11 Januari 2009, Kapal Teratai Prima pula menjadi mangsa lautan penuh misteri itu. Pembentukan tanah serta struktur yang terdapat dibawah dasar Lautan Segi Tiga Bermuda dilihat misteri dan terdapat pihak yang sukar menafsirkan melalui akal fikiran mereka sebagai manusia.
Menurut Prof Madya Dr Mustaffa Kamal dari Jabatan Geologi, Universiti Malaya, topografi lantai laut di situ agak sedikit luar biasa.
Dalam suatu kawasan yang kecil, topografi lantai lautnya berubah dari pelantar laut yang landai dan cetek ke lurah yang dalam dan mengandungi jurang yang amat dalam.
Disoal mengenai faktor penarik dalam lautan itu yang mampu menarik objek dari atas menuju ke bawah dasar lautan, ujar beliau:
“Kawasan itu sentiasa terkesan dengan ribut yang kuat dan tidak dapat diramalkan. Begitu juga dengan cuacanya yang sentiasa berubah secara tidak menentu.
"Ribut-ribut ini boleh datang dan pergi dengan tiba-tiba tanpa dikesan oleh satelit kaji cuaca. Pancutan air seakan taufan ini boleh memusnahkan pesawat atau kapal.
"Ia merupakan taufan atas laut yang mampu menarik air laut beribu meter ke udara, Dikatakan juga terdapat kawasan gas 'mathene' dikawasan tersebut.
"Letusan gas tersebut boleh menjadi amat ganas dan menghasilkan letupan, sekaligus menyebabkan kehilangan kapal serta pesawat. Kawasan itu juga mempunyai ‘kepincangan magnet’,
“Malah, kompas akan mempamerkan bacaan sehingga 60 darjah ralat dari arah sebenar. Apabila kompas menunjukkan arah yang salah adalah mudah mengakibatkan kapal-kapal dikemudikan ke arah yang salah dan sesat.
"Sepekara lagi adalah faktor kelajuan arus kawasan tersebut. Arus boleh mencapai 2m/saat dan menghanyutkan mana-mana kapal yang rosak atau pesawat yang cuba mendarat di atas permukaan air,” katanya kepada Malaysian Digest.
Tambahnya, satu fenomena khusus di kawasan itu adalah Rogue Waves atau ombak liar seakan tsunami yang datang dari laut dalam. Ini dapat menerangkan punca kapal boleh terbalik secara tiba-tiba dan berkemungkinan terdapat aktiviti seismik yang tinggi.
Terdapat juga aktiviti gunung berapi dan gempa bumi di bawah dasar lautan. Tsunami yang menyerang ini boleh menyebabkan juga kehilangan banyak kapal. 
Apakah wujudnya kawasan atau pulau di dasar laut yang tidak mampu dikesan oleh satelit sehingga berlaku banyak misteri kehilangan kapal di kawasan itu? 
“Tiada apa yang luar biasa atau ajaib mengenai kawasan itu. Ia adalah disebabkan fenomena alam. Kawasan ini terbukti menunjukkan cuaca yang luar biasa dan tidak menentu.
"Keadaan cuaca yang tidak menentu ini akan menghasilkan ribut yang dasyat dan taufan yang mengganas. Ia boleh datang dan pergi dengan sangat pantas. 
“Satelit juga tidak akan dapat mengesan ribut taufan ini jika ia berlaku pada masa satelit tidak berada di atas kawasan tersebut. Satelit melintasi titik yang sama di atas bumi selang 12 jam. Oleh tu, dalam masa 12 jam apa sahaja kebarangkalian boleh terjadi.” katanya.
Kejadian alam mengikut pandangan sains tidak boleh disangkal jika bersandarkan pada bukti yang kukuh tetapi sebagai manusia yang beragama Islam adalah wajib untuk percaya kewujudan dunia yang tidak boleh dilihat melalui mata kasar.
Menurut Penceramah Bebas, Ustaz Abdul Rasyid, sebagai seorang Islam adalah wajib untuk kita percaya dan beriman dengan perkara-perkara ghaib. Malah, dalam Hadith Muslim sendiri telah menyatakan bahawa pusat kerajaan Jin berada di dalam air dan laut.
"Kemudian kita boleh kaitkan pula dengan penemuan piring terbang yang dilihat berlegar di Lautan Segi Tiga Bermuda dan hilang tanpa dikesan,
“Dari aspek Islam memang diakui bahawa Lautan Segi Tiga Bermuda ini dikuasai oleh golongan Jin dan diketuai oleh Iblis sebagai jeneralnya. Namun, ada sebuah universiti di Florida menyatakan bahawa kejadian-kejadian mistik yang berlaku di kawasan ini adalah kes-kes terpencil yang menjurus kepada halusinasi yang bergantung pada akal dan mata,
“Saya percaya bahawa kehilangan kapal-kapal yang melalui lautan itu sememangnya ada kaitan dengan kerajaan jin dibawah laut. Mereka mampu memperluaskan empayar kerajaan mereka dengan sekelip mata.
"Golongan Jin mampu menguasai laut, darat dan udara mengikut kemahuan mereka. Tidak mustahil mereka melebarkan empayar di seluruh dunia tanpa dilihat pandangan mata kasar kita,” katanya kepada Malaysian Digest.
Tambahnya, Segi Tiga Bermuda ini turut dikaitkan dengan kewujudan Yaajud dan Maajud serta Dajjal. Sudah dinyatakan di dalam al-Quran bahawa mereka akan muncul pada akhir zaman nanti.
Biarpun perkara ini terus diselubungi dengan pelbagai misteri yang tidak mampu terungkap, jelas Ustaz Abdul Rasyid lagi sebagai orang yang beriman harus percaya bahawa Allah bukan sahaja mencipta makhluk bertubuh kasar bahkan juga makhluk bertubuh halus.
“Bencana alam sememangnya berlaku dan tidak mustahil juga menjadi faktor terjadinya malapetaka di lautan tetapi jangan sesekali kita nafikan kebarangkalian hal itu turut didorong oleh faktor alam ghaib,” katanya.
Setiap manusia mempunyai pandangan mereka tersendiri dalam menilai sesuatu peristiwa yang terjadi dan semua itu bergantung penerimaan akal dan fikiran manusia.
Hakikatnya, dunia ghaib sememangnya wujud dan sukar untuk dinafikan keberadaan mereka didunia ini.
Namun, sejauh mana pula logik akal manusia dalam menerima setiap kebetulan yang berlaku dalam kecelakaan objek-objek yang melintasi ‘Lautan Iblis’ itu.

Post a Comment

Previous Post Next Post