Polis: Dakwaan pelancong Taiwan tak berasas


Polis Langkawi menafikan dakwaan pelancong Taiwan baru-baru ini yang menyatakan anggota keselamatan di pulau peranginan itu memeras wang mereka, adalah sebagai tidak berasas.

Pemangku Ketua Polis Daerah Langkawi DSP Jamil Ahmad berkata pelancong itu membuat dua versi dakwaan kepada stesen televisyen Taiwan baru-baru ini, iaitu yang pertama mendakwa insiden itu berlaku dalam sekatan jalan raya yang dijalankan oleh pihak polis dan satu lagi, di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL).

Bagi tuduhan pertama, pelancong itu mendakwa pihak polis meminta mereka berhenti kerana kenderaan tersebut terlebih muatan dan meminta RM300 daripada pemandu dan setiap penumpang sebagai denda.

Jamil memberitahu Bernama beliau telah mendengar dakwaan itu sebelum ini iaitu sebelum beliau ditukarkan untuk bertugas di Langkawi tetapi cerita tersebut tidak pernah disahkan.

Bagi tuduhan kedua, warga Taiwan itu mendakwa dia telah dituduh mencuri sepasang seluar dalam dari butik kecantikan dan aksesori di LTAL dan mendakwa pihak polis meminta wang untuk membebaskannya.

Jamil berkata tiada cerita seperti itu di pulau peranginan berkenaan dan adalah tidak mungkin anggota polis daerah menjalankan rondaan di LTAL kerana tugas itu diambil alih oleh polis bantuan Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB).

Sementara itu, Pengerusi Tourism Malaysia Wee Choo Keong dalam kenyataan semalam, juga mengesahkan insiden itu berlaku di outlet runcit di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dan bukan di LTAL seperti yang didakwa pelancong tersebut.

Beliau berkata hasil siasatan MAHB dan berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan dengan jelas kecurian benar-benar berlaku antara jam 3.30 petang dan 4.40 petang di outlet itu dan pelancong berkenaan dibebaskan oleh polis bantuan selepas tiada bukti ditemui pada mereka.

Wee berkata sementara Tourism Malaysia akan cuba sedaya upaya untuk menyesuaikan pelancong serta membantu mereka jika menghadapi sebarang masalah ketika menginap di sini, pelancong seharusnya tidak membuat dakwaan tidak berasas atau tuduhan terhadap Malaysia.

"Kami tidak akan bertolak ansur terhadap dakwaan palsu atau tuduhan yang dibuat terhadap Malaysia. Kami berharap dakwaan palsu itu tidak akan berulang pada masa depan," tambahnya.

- Bernama 

Post a Comment

Previous Post Next Post