KUALA LUMPUR: Aksi sebuah kereta jenis Volkswagen Polo secara tiba-tiba melanggar kereta peronda polis yang dipercayai berlaku sekitar terowong Jalan Pudu di sini menjadi ‘viral’ sejak semalam di laman sosial Facebook.
Menerusi video yang dipercayai dirakam pengguna jalan raya yang melalui jalan tersebut, pemandu kereta Volkswagen yang dipandu laju itu melanggar kenderaan polis dari arah belakang sehingga menyebabkan kenderaan polis terbabit terkena penghadang jalan sebelum berpusing.
Rakaman penuh berdurasi 4 minit 59 saat itu dimuat naik pengguna laman sosial Youtube menggunakan nama, Shawn Lee dipercayai berlaku pada 22 Jun lalu.
Pada awal rakaman tersebut, pengguna yang merakam kejadian itu bergerak melalui Jalan Pudu menuju ke Jalan Hang Tuah memaparkan keadaan jalan raya bergerak lancar tanpa kesesakan lalu lintas.
Bagaimanapun, pada minit ke 3:23 saat ketika melalui satu terowong, kereta Volkswagen tersebut muncul lalu merempuh kereta peronda polis.
Namun, kereta tersebut tidak memberhentikan kenderaannya, malah terus meluru laju meninggalkan kereta yang dilanggarnya.
Dalam rakaman itu juga, kelihatan dua pegawai polis keluar dari kereta tersebut.
Menurut Lee, pegawai polis terbabit mengalami kecederaan kecil dibahagian muka dan lebam.
“Sebuah kereta VW Polo yang memecut laju merempuh kereta polis menyebabkan kereta itu berputar ke penghadang di sebelah kanan.
“Kasihan dua anggota polis tersebut. Seolah tersedar dari mimpi dan mengalami beberapa luka di muka.
“Nasib baik hanya luka-luka kecil dan lebam,” tulisnya sebagai kapsyen kepada rakaman tersebut.
Sehingga kini, video itu telah ditonton lebih 59,308 pengguna.