Selama 11 tahun mendirikan rumah tangga bersama isteri tercinta, Diyana Halik, pelakon Aaron Aziz bersyukur kerana ikatan perkahwinannya sehingga kini kekal utuh malah bahagia di samping kehadiran tiga cahaya mata iaitu Danish Anaqi, 10; Dwi Ariana, 8, dan Dahlia Arissa, 4.
Sementelah akuinya, watak yang dimainkan di dalam filem televisyen (FTV) terbaharu lakonannya berjudul Cinta Paling Agung (CPA) sikit sebanyak memberi peringatan kepada dirinya agar sentiasa memupuk kasih sayang dan mewujudkan keharmonian dalam rumah tangga.
Pun begitu, sepertimana lumrah yang dilalui pasangan suami isteri lain, Aaron akui ada ketikanya mereka juga tidak dapat lari dari diduga dengan pebagai masalah.
Namun, Aaron menyatakan dia sentiasa memegang tiga perkara yang menjadi prinsip dalam rumah tangganya iaitu cinta, kasih dan amanah.
"Cerita ini, mesejnya sikit sebanyak beri peringatan pada diri saya juga saya harap kepada semua pasangan yang dah berkahwin. Alhamdulillah usia perkahwinan kami sudah mencecah 11 tahun.
"Setiap pasangan yang berkahwin, pasti akan menempuh dugaan. Walaupun usia perkahwinan itu sudah sampai 50 tahun pun, pasti ada masa diuji dengan pelbagai masalah.
"Tapi sebagai suami atau isteri, terpulang pada kita bagaimana hendak menghadapi masalah yang datang itu. Sama ada kita pilih memperbesarkan masalah itu atau mencari jalan penyelesaian sebaik mungkin.
"Ada juga kawan dan kenalan yang mahu berkahwin minta nasihat daripada saya tentang hal rumah tangga. Bagi saya, hidup sebagai suami isteri ini kita pegang pada tiga perkara, cinta, kasih dan amanah.
"Seandainya cinta itu mula hilang, kita pergi pada kasih sayang kalau kasih sayang itu mungkin juga mula pudar, kita pergi pada amanah.
"Apabila kita beringat yang ianya amanah, Insyallah kita takkan pergi jauh," tuturnya panjang lebar tatkala diajak berkongsi rahsia kebahagiannya.
Aaron berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran FTV Cinta Paling Agung di GSC The Gardens, Kuala Lumpur, semalam.
Menerusi karya arahan sutradara terkenal Indonesia, Hanung Bramantyo itu Aaron memainkan watak sebagai Khairi iaitu seorang lelaki yang telah berkahwin dengan Amyza dan mempunyai seorang anak bernama Hanna.
Bagaimanapun rumah tangganya yang selama ini bahagia mula bergolak apabila dia berjumpa dan jatuh cinta dengan seorang wanita bernama Dewi lalu meminta izin daripada Amyza untuk mengahwini Dewi.
Kecewa dengan kecurangan Khairi, Amyza mengambil keputusan mahu bercerai dan Khairi sanggup menceraikan isterinya semata-mata mahu mengahwini Dewi.
Namun, isterinya meletakkan beberapa syarat yang harus dilakukan terlebih dahulu sebelum mereka betul-betul bercerai.
Dalam pada itu, Aaron tidak menafikan punca konflik dalam sesebuah rumah tangga itu kebiasaannya timbul kerana orang ketiga. Baginya, dia ada cara tersediri untuk sentiasa mengingatkan dirinya agar tidak terkait dengan permasalahan tersebut.
"Saya juga sering jadikan ibu bapa saya sebagai contoh untuk saya layari bahtera rumah tangga. Saya tengok bagaimana bapa saya jaga ibu saya
"Kalau nak cakap tentang orang ketiga, pada saya, apabila ada orang yang bertanyakan saya ada tiga lagi kuota tak nak kahwin lagi ker?
"Saya selalu jawab, memang saya ada lagi tiga kuota tapi ketiganya sudah diambil anak-anak. Saya rasa itulah hikmahnya Allah kurniakan saya tiga orang cahaya mata.
"Tak kiralah kalau kami bergaduh besar atau kecil, tiga cahaya mata kami itulah yang memberikan kami kekuatan dan sabar menempuh apa juga dugaan," katanya.
Sementara itu, berkongsi lagi mengenai telefilem tersebut, Cinta Paling Agung menjalani penggambaran sepenuhnya di Jakarta, Indonesia sekitar September tahun lalu.
Ditanya mengenai cabaran menjayakan karya ini, Aaron menyatakan selain mengejar masa disebabkan tempoh penggambaran yang singkat, sepanjang penggambaran dilakukan dia sebetulnya dalam proses untuk puih semula daripada serangan sakit belakang yang dihidapinya ketika itu.
"Kami hanya ada kurang seminggu untuk menjalani penggambaran, jadi memang jadual sangat padat sehinggakan tak cukup tidur.
"Masa tu, saya sebenarnya baru nak baik daripada sakit belakang dan ada pula babak saya kena dukung Siti Saleha yang berlakon sebagai isteri saya.
"Masa lakukan babak itu, saya tahan sakit tetapi mujur semuanya berjalan lancar," katanya.
Selain gandingan Aaron dan Siti Saleha, Cinta Paling Agung turut dijayakan barisan pelakon seperti Shahrolnizam, Mia Sara juga aktres popular Indonesia, Zaskya Ada Meca.
Ia akan ditayangkan istimewa sempena Aidifitri ini pada 17 Julai ini di saluran Astro First Eksklusif.