KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mempunyai kuasa penuh untuk melakukan rombakan Kabinet meskipun tindakan tersebut tidak dipersetujui oleh segelintir pihak.
Penganalisis politik, Prof Dr Ahmad Atory Hussain berpendapat, keputusan Najib untuk melakukan rombakan Kabinet dalam tempoh terdekat adalah sebagai langkah untuk mengukuhkan lagi kedudukan parti Barisan Nasional (BN) dan UMNO, selain meraihkan kepercayaan masyarakat terhadap kepimpinannya.
“Sekiranya benar rombakan Kabinet dilakukan, Najib sedang menyusun strategi persefahaman (dalam kalangan Menteri Kabinet) dan bertindak terhadap beberapa menteri yang tidak memberi kerjasama kepadanya.
“Rombakan Kabinet dilakukan juga mungkin membolehkan kedudukannya semakin kukuh dan memastikan kawalan yang lebih baik terhadap kepimpinannya,” katanya ketika dihubungi Malaysian Digest, hari ini.
Bagaimanapun, Dr Atory meramalkan rombakan Kabinet bagi tempoh pertama sejak dibawah kepimpinan Najib pada 2013 adalah sesuatu yang mustahil dalam masa sekarang.
“Saya rasa buat masa ini tidak tepat untuk kerajaan melakukan rombakan Kabinet. Namun, bagi sesetengah pihak yang marah kepada kerajaan mereka memang mengharapkan ia berlaku,” tambahnya.
Terbaharu, akhbar Utusan Malaysia hari ini melaporkan Perdana Menteri telah menghadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah mempersembahkan senarai rombakan Kabinet baru.
Desas-desus juga menyatakan bahawa antara menteri yang akan digugurkan adalah Timbalan Perdana Menteri (TPM), Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Mengulas mengenai dakwaan berkenaan, Dr Atory menyatakan keputusan untuk melucutkan TPM akan melemahkan parti itu sendiri memandangkan pengaruh timbalan presiden UMNO itu begitu kuat.
“Tidak sewenang-wenangnya Najib boleh membuat sesuatu kepada TPM (Muhyiddin).
“Jika TPM dibuang, tindakan itu boleh menjejaskan kedudukan UMNO dan BN akan mengalami kekalahan,” ujarnya.
Difahamkan, rombakan tersebut membabitkan 5 daripada 35 menteri.
Sebelum ini juga tersebar di beberapa laman blog dan media sosial membabitkan senarai rombakan Kabinet, namun ia dinafikan oleh Pejabat Perdana Menteri.