Dalam dunia serba moden, kecanggihan teknologi memberi kemudahan pada orang ramai tidak kira dari aspek apa sekalipun.
Pernahkah anda mendengar mengenai kehadiran ‘teksi sapu’? Sejauh mana anda tahu mengenai perkhidmatan yang ditawarkan oleh mereka?
Teksi sapu yang boleh didapati dan ditempah melalui perkhidmatan Uber, Blackline dan GrabCar merupakan kemudahan dari segi pengangkutan yang nampaknya semakin diterima oleh masyarakat kita.
Ia bukanlah perkara yang asing lagi kerana kehadiran teksi sapu ini sudah lebih awal digunapakai masyarakat di serata dunia.
Dengan tambang berpatutan dan perkhidmatan yang dijamin baik, teksi sapu ini dikatakan telah mengganggu periuk nasi pemandu-pemandu teksi di Malaysia.
Tinjauan telah dibuat oleh wartawan Malaysian Digest dalam mengetahui serta merasai sendiri ‘kehebatan’ teksi sapu ini dan mencungkil faktor-faktor penyebab mengapa teksi seperti diboikot oleh sesetengah penumpang.
Pernahah anda merasakan tambang yang dikenakan oleh pemandu teksi ke arah destinasi anda tidak masuk akal? Misalnya, mereka enggan menggunakan meter dalam kiraan pembayaran tambang anda.
Pernahkah anda dilayan buruk oleh pemandu teksi kita, sekaligus memerlihatkan mereka ini tidak mempunyai nilai-nilai peradaban bersama penumpang?
Atau, pernahkah anda melalui saat-saat cemas bersama pemandu teksi yang hampir membahayakan diri anda sendiri?
Namun, apakah teksi sapu ini benar-benar menjamin keselamatan penumpang?
Berada dalam satu sektor pekerjaan yang hampir serupa, tetapi kedua-duanya mempunyai pandangan mereka tersendiri.
Berada dalam satu sektor pekerjaan yang hampir serupa, tetapi kedua-duanya mempunyai pandangan mereka tersendiri.
Wartawan kami berjaya menemubual secara ringkas seorang pemandu GrabCar, Lee yang memandu kereta pacuan empat roda miliknya sendiri dalam melaksanakan tanggungjawabsebagai pemandu teksi sapu.
Keadaan keretanya yang amat bersih dan senyuman diberikan Lee telah memberi satu persepsi positif kepada penumpang supaya lebih yakin menggunakan perkhidmatan penghantarannya.
Jelas Lee, dia menjadikan kerjaya sebagai pemandu GrabCar ini hanyalah sebagai mengisi masa lapang sahaja. Lelaki berusia 52 tahun itu mengakui membawa teksi sapu ini berhadapan dengan risiko ditahan serta diambil tindakan undang-undang oleh pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).
“Saya rasa tak ada apa yang salah. Kalau tengok daripada keadaan kereta saya sekarang, saya yakin penumpang pun akan selesa nak naik. Bukan nak memburukkan pemandu-pemandu teksi ni.
"Cuma, kalau boleh mereka buatlah supaya teksi mereka nampak lebih besar dan selesa. Baru penumpang senang hati.
“Kami tak ada buat salah pun. Kalau orang kata naik teksi sapu ni tak menjamin keselamatan, bohonglah. Maklumat peribadi saya, gambar saya dan semuanya ada dalam sistem MyTeksi.
"Kami nak lari ke mana pun. Isu keselamatan ini sepatutnya tidak perlu dibangkitkan pun.
"Jangan tunding jari pada pemandu macam kami saja yang kononnya keselamatan tidak terjamin. Ada juga pemandu teksi yang suka buat hal juga.
"Tambang perkhidmatan kami pun sudah ditetapkan dalam sistem MyTeksi tetapi, ada pemandu teksi tak suka pakai meter.
"Ikut suka mereka letak harga berapa. Kadang-kadang harga tak masuk akal,” katanya.
Tambahnya, ramai antara pemandu teksi ini tidak mesra pelanggan. Dengan satu senyuman itu, Lee yakin bahawa penumpang akan berasa lebih selesa.
Ujar Lee, SPAD harus mempertimbangkan semula dalam memberi peluang kepada pemandu-pemandu teksi sapu untuk berada secara sah dalam sektor pengangkutan awam ini.
Berbeza pula Mzam yang berpengalaman selama 23 tahun sebagai pemandu teksi mempunyai pandangan berbeza mengenai isu ini.
“GrabCar adalah dibawah syarikat MyTeksi Sdn Bhd. Asalnya MyTeksi hanyalah penyedia aplikasi dalam talian untuk pengguna mendapatkan khidmat teksi.
"Aplikasi Myteksi bertambah maju dan dikenali ramai hasil bantuan pemandu-pemandu teksi yang sejak awal penubuhannya dengan mempromosikan kepada sebahagian besar masyarakat pengguna.
"Apabila jenama MyTeksi maju, mereka menukar nama kepada GrabTeksi. Melihat kepada keuntungan besar yang syarikat ini perolehi hasil aplikasi dalam talian, mereka mula menjadi tamak dan menceroboh industri teksi dengan mewujudkan GrabCar pula.
"Mereka membuat promosi besar-besaran sehingga menawarkan potongan tambang. Tidak mustahil mereka boleh menawarkan diskaun sedemikian kerana cara pemasaran berkonsepkan MLM Pyramid.
“Pemandu GrabCar akan diminta mencari pemandu-pemandu baru dan mereka diberi komisen. Pemandu GrabCar juga diminta untuk mengedarkan risalah GrabCar dan ditaburkan dengan promosi hebat.
"Sedangkan, dana yang dikeluarkan untuk promosi tersebut adalah hasil kitaran sistem MLM Pyramid,” katanya kepada Malaysian Digest.
Ujarnya, dengan simpanan data dan ‘ID’ pengguna yang pernah menggunakan aplikasi atas talian secara beransur-ansur, mereka telah mengalihkan data pengguna tersebut kedalam data GrabCar.
"Ianya terbukti selepas mendapati keadaan di dalam sistem aplikasi tersebut berubah memaparkan (1) BAJET, (2) GRABCAR, (3) EKSEKUTIF dan (4) ETC (Hantar Barang).
"Sedangkan, asalnya dahulu hanyalah (1) BAJET manakala (2) EKSEKUTIF.
“Saya tak nafikan memang wujud pemandu teksi yang tidak jujur dan enggan menggunakan meter tetapi dari lebih 85,000 pemandu teksi yang berdaftar, hanya sekitar dua atau tiga peratus sahaja yang masih berdegil.
"Hal ini telah dipropagandakan oleh syarikat-syarikat aplikasi dalam talian seperti Uber dan GrabCar supaya pengguna memilih perkhidmatan mereka.
“Dalam kes berkaitan etika ini sepatutnya menjadi tujang penguatkuasaan SPAD untuk membenteras, bukannya menghentam kesemua pemandu teksi dan Ini tidak adil.
"Pihak SPAD perlu menyalurkan kepada umum melalui media massa, sosial dan eletronik bahawa betapa bahayanya pengguna yang memilih untuk menggunakan khidmat kereta persendirian atau teksi sapu.
“Teksi sapu ini tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan pihak berkuasa. Mereka tiada insurans komersial, pemandu tidak berdaftar dengan SPAD, tiada jaminan keselamatan yang khusus, terdapat pemandu seperti penagih dadah dan ramai juga di antara pemandu GrabCar ini adalah bekas pemandu teksi yang dulunya mempunyai senarai rekod salahlaku pengangkutan awam,” jelasnya.
Mzam berharap supaya pengguna bertindak bijak dalam memilih teksi yang mendapat penarafan dari masyarakat. Mereka perlu menggunakan aplikasi ‘METER ON’ yang baru diperkenalkan SPAD agar pengguna boleh mendapatkan maklumat tepat berkenaan teksi yang mereka naiki.
“Ini bertujuan untuk menjamin keselamatan pengguna ketika menaiki teksi berdaftar manakala teksi sapu seperti Grabcar dan Uber tiada dalam data ‘METER ON’.
"Kebarangkalian pengguna berhadapan dengan risiko menjadi mangsa jenayah pemandu GrabCar yang tidak memiliki kelayakan dan lesen memandu,
“Kita harus ingat satu kes yang pernah berlaku di Malaysia apabila seorang artis telah diganggu privasinya oleh pemandu teksi sapu ini.
"Di Singapura, India dan beberapa negara Eropah seringkali berlaku jenayah rogol, culik, peras ugut oleh pemandu teksi sapu ini," katanya.
Isu perbalahan diantara pemandu teksi sapu dan teksi berdaftar bukan perkara baru. Bahkan, ia mendapat perhatian serius daripada segenap masyarakat kita.
Berikut merupakan beberapa pandangan ringkas daripada rakyat Malaysia berkenaan Uber, GrabCar dan teksi dan mana satukah menjadi pilihan mereka.
"Dari segi perkhidmatan, tentulah Uber. Beberapa bulan lepas, saya kena pergi ke Lapangan Terbang Subang. Jadi, saya naik Uber. Sangat selesa dan kereta bersih. Dua minggu lepas pula waktu saya ke KL Sentral. Saya naik teksi menggunakan aplikasi MyTeksi. Perkhidmatan boleh tahan tetapi Uber memberi perkhidmatan lebih baik." – Shi Min
"Bantulah pemandu teksi yang susah cari rezeki. GrabCar ini macam menganggu pemandu teksi semata-mata untuk mendapatkan duit dengancepat. Tidak adil buat mereka." – Rubina Yunal.
"Dari aspek perkhidmatan Grab Car seperti Uber memang bagus tetapi tiada perlindungan insurans." - Ajoy Yusof.
"Bagi pemandu teksi, lebih-lebih lagi yang persendirian kerana mereka ini sangat bekerja keras untuk mencari rezeki. GrabCar memberi saingan pada pemandu teksi sedangkan mereka perlu mempertingkatlan mutu perkhidmatan. Jika diberi pilihan, saya memilih teksi." – Faris Jamaludin.
"Kalau dalam keadaan tengah nak cepat, saya akan pilih teksi sebab teksi ni senang nak dapat. Mungkin kalau nak pergi majlis saya akan pilih Uber." – Mia Salleh.
Tidak kiralah apapun pilihan kita sebagai pengguna tetapi pilihan itu haruslah bijak kerana kedua jenis pengangkutan ini tetap mempunyai baik dan buruknya.