Wanita ini nekad bersemuka dengan perogol.


SEORANG wanita yang menjadi mangsa rogol dan hampir dibunuh 15 tahun lalu, membuat keputusan untuk berjumpa dan memaafkan penjenayah tersebut.
Rosalyn Boyce, dari Surrey, England, berbuat demikian demi mencari ketenangan selepas hidupnya menjadi kacau-bilau sejak tragedi hitam itu.
Dalam kejadian tersebut, Boyce yang ketika itu berusia 32 tahun dan merupakan ibu kepada dua anak, dirogol oleh seorang lelaki yang memecah masuk ke rumahnya.
Bukan setakat dirogol, lelaki bernama Lee Hill itu juga mengugut untuk membunuhnya. Namun nasib Boyce agak baik kerana sempat bergelut dan pisau yang dipegang Hill patah.
Hill berjaya ditahan polis beberapa hari kemudian, tetapi ia tidak menjadikan hidup Boyce lebih baik. Bukan hanya dihantui perasaan takut dan trauma yang berpanjangan, tetapi kejadian itu juga memusnahkan perkahwinannya.
"Sebelum kejadian itu, rumah tangga kami bahagia. Saya masih ingat bagaimana suami saya menangis ketika saya memaklumkan hal itu kepadanya. Dia tak dapat menerimanya," kata Boyce.
Suami Boyce sedang menerima rawatan di hospital kerana pneumonia pada malam kejadian.
Sejak itu, hidup Boyce tidak teratur. Dia terpaksa berpindah dari rumahnya, dan setiap malam akan minum sehingga mabuk.
Boyce berkata, dia mengambil keputusan untuk memaafkan Hill selepas anak perempuannya mengakui trauma yang dialami ibunya memberi kesan kepadanya.
"Saya tak mahu anak saya juga hidup dalam ketakutan.
"Ketika saya beritahu saya sudah memaafkannya, dia menangis. Dan buat pertama kalinya selepas 15 tahun, saya rasa bebas," cerita Boyce.

Post a Comment

Previous Post Next Post