KUALA KEDAH - Seorang warga emas di Kampung Sematang Pinang, di sini, terpaksa menghuni sebuah pondok usang yang asalnya bangsal lembu sejak tiga tahun lalu.
Che Su Jusoh, 74, berkata, dia sebelum ini tinggal menyewa namun berpindah disebabkan tidak mampu membayar sewa.
"Lepas pindah, makcik balik ke kampung halaman dan upah penduduk ubah suai bangsal lembu peninggalan arwah suami untuk jadikan tempat berteduh.
"Berdindingkan zink, berlantaikan kayu dan tar terpakai, rumah ini agak kurang selesa sebab kurang kemudahan," katanya.
Menurutnya, ruang kediaman sempit yang hanya menempatkan ruang tidur semata-mata.
"Saya buat semua benda di sini. Hendak solat pun susah, memang sempit... tapi hendak buat macam mana.
"Bukan sahaja bilik air tak berbumbung, malah tiada dinding pun tak ada. Bahaya memang bahaya kalau-kalau ada binatang berbisa," katanya.
Katanya, dia terpaksa meneruskan kehidupan dalam keadaan tidak selesa kerana sumber kewangan yang terhad.
"Bumbung bocor, rumah masuk air dan ular... mujur juga ada cucu saya (Adam Suhari Md Shukri, 20) yang sanggup temankan.
"Saya memang tak mampu baiki sebab bergantung pada wang bantuan semata-mata untuk menyara hidup.
"Nak bekerja pun dah tak larat... sudah tua. Jadi makcik harap sangat ada yang dapat bantu sediakan rumah untuk makcik habiskan sisa hidup," katanya.
Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun CIMB Che Su (7609968253).