Kuala Lumpur: Pengacara dan pelawak popular, Ahmad Nabil Ahmad menyifatkan kutukan kelompok pembenci terhadap etikanya mengacarakan rancangan Gegar Vaganza 2 sebagai tidak berasas.
Nabil, 32, berkata, pertikaian berhubung hampir setiap kerja dilakukannya bukan perkara baru.
Katanya, kecaman mengenai adabnya mengendalikan pertandingan nyanyian itu sejak dua minggu lalu dilakukan golongan yang sengaja mencari kesilapannya.
"Saya tidak faham apa kewajaran pertikaian itu?
"Apa mereka sudah tidak ada kerja lain sampaikan setiap tindak-tanduk, cara saya mengacara dan bergurau dipertikai. Walhal, pihak lain okay. Jika dakwaan itu berasas sudah tentu saya dikenakan tindakan oleh Astro," katanya.
Sejak minggu pertama mengacarakan program itu, Nabil dikecam golongan pembenci.
Keadaan itu berlanjutan selepas Nabil mengendalikan minggu kedua GV malam Ahad lalu apabila forum yang mengecam kualiti kerja pelawak itu diwujudkan.
Pertikaian yang timbul termasuklah cara gurauan Nabil yang dianggap keterlaluan, biadap dan kasar terhadap barisan peserta dan juri Datuk Ramli MS.
Sebelum ini, gurauan Nabil terhadap kumpulan cacat penglihatan, Caliph Buskers turut mengundang kemarahan ramai sehingga pengacara itu memohon maaf baru-baru ini.