PERKARA biasa yang dilakukan oleh anak kapal bagi sesebuah pesawat sebelum memulakan perjalanan adalah anda akan diberikan panduan atau demonstrasi mengenai beberapa maklumat termasuk membabitkan keselamatan.
Namun, apa perasaan anda sekiranya anak kapal melakukan demonstrasi keselamatan di tengah padang sebelum perlawanan bola sepak? Terkejut bukan.
Itulah yang dilakukan oleh sekumpulan pramugari daripada syarikat penerbangan Emirates Airline beberapa hari lalu yang berjaya mencuri perhatian peminat dan penyokong bola sepak sebelum perlawanan antara pasukan Benfica menentang Sporting Lisbon dalam Liga Primeira Portugis bermula.
Menerusi video yang dimuat naik di laman YouTube milik syarikat penerbangan tersebut 27 Oktober lalu, ternyata kehadiran lapan pramugari itu yang lengkap memakai uniform Emirates Airline di tengah padang membuatkan semua penonton terpegun dan bersorak.
Lapan pramugari tersebut dengan aksi bersahaja dilihat membuat demonstrasi istimewa bagi menyampaikan beberapa informasi keselamatan di hadapan 65 ribu peminat Benfica.
Menggunakan beberapa isyarat, anak-anak kapal terbabit berdiri menghadap ribuan peminat bola sepak, sebelum memberi demonstrasi dengan penuh perasaan, lucu dan menghiburkan termasuk bagaimana cara untuk meletakkan mafla di atas bahu.
Antara demonstrasi lain yang turut disampaikan adalah mengenai tempoh perlawanan, laluan ke 32 pintu stadium, bagaimana untuk meletakkan beg mereka, serta meminta peminat menjauhkan alat elektronik agar boleh menumpukan perhatian kepada pasukan mereka.
Sehingga kini, video yang dimuat di laman YouTube Emirates bertajuk “Benfica Safety video | Emirate” mendapat tontonan lebih 500, 000 pengguna media sosial.