Rosyam Bengang Komen Negatif Isu Azma Mengasari Ika Nabella


"Saya bukan baru semalam jadi produser. Saya sudah bekerja dalam industri ini sejak umur saya 17 tahun dan saya tahu apa yang terbaik untuk syarikat saya dan industri.
"Orang luar janganlah sewenang-wenangnya memberi komen mengenai apa yang mereka tidak tahu tentang perkara sebenarnya yang terjadi dalam 'rumah' saya.
"Saya matang dalam mengendalikan hal seperti ini jadi jangan janganlah bagi komen seolah-olah saya tidak peka dengan industri," itu kata-kata penerbit terkenal Rosyam Nor ekoran sesetengah pihak mempersoalkan keputusannya membenarkan Azma Aizal Yusoof meneruskan penggambaran drama Dawai Asmara walaupun pengarahnya itu telah mengasari pelakon Ika Nabella.
Jelas Rosyam, selaku penerbit dia bertanggungjawab dan lebih memahami memahami keadaan seluruh kru produksinya. Dia tidak mahu perkara lebih buruk berkemungkinan berlaku jika memberhentikan Azma serta-merta kerana dia sedia maklum bahwa Azma mengidap 'bipolar disorder'.
"Banyak komen negati dan mempersoalkan kenapa saya benarkan Azma teruskan penggambaran? Ini kerana saya lebih memahami keadaan kru-kru saya.
"Azma tak sorok tentang penyakit dia dan saya sebagai produser kena faham perkara itu. Dan walaupun dia ada penyakit tetapi dia boleh bekerja.
"Dalam insiden tempoh hari, bagi saya Azma yang lebih kritikal. Jadi saya perlu cari masa yang betul-betul sesuai. Andai kata saya ambil tindakan serta merta berhentikan dia, mungkin dia akan membuat sesuatu yang lebih buruk misalnya bunuh diri. Jika perkara itu berlaku, siapa yang nak jawab?," tuturnya dalam satu sidang media khas bagi menjelaskan hal sebenar mengenai insiden tersebut, semalam.
Tambahnya, walaupun kejadian itu telah menjadi kes pihak berkuasa tetapi ketika itu Azma belum didapati bersalah. Dia mengambil pendekatan menyerahkan kepada pihak berkuasa membuat siasatan. Justeru dia berdiam diri dan tidak memberi sebarang kenyataan balas meskipun teruk dihentam segelintir pihak.
Sejurus kejadian pada 2 November itu berlaku, dia bertemu dengan Azma bagi mendapatkan penjelasan. Penggambaran tidakk ditangguhkan kerana ianya melibatkan jadual para pelakon drama tersebut.
"Pada hari kejadian, Azma berjumpa dengan saya dan menjelaskan tindakannya itu bagi mendapatkan lakonan yang terbaik dan lebih mantap Ika daripada perspektif dia sebagai pengarah. Namun berlaku kesalahan kerana dia mengasari Ika, sedangkan ia tak sepatutnya berlaku.
"Saya benarkan Azma teruskan penggambaran kerana pada masa itu dia belum didapati bersalah. Saya tidak boleh menjatuhkan hukuman saya terhadap Azma. Sebaliknya saya serahkan pada pihak polis untuk menyiasat.
"Keduanya, saya perlu memikirkan jadual artis-artis lain yang terlibat dalam drama tersebut dan kerana itu penggambaran diteruskan. Sehinggalah mahkamah mendapati Azma bersalah dan dijatuhkan hukuman.
"Sehinggalah keputusan mahkamah dibuat pada Pada 13 November lalu dan Azma berjumpa dengan saya. Dia mengaku bertanggungjawab, mengaku bersalah lalu menyatakan mahu menarik diri daripada produksi.
"Saya terima keputusan dia tetapi saya minta dia selesaikan kerja dia sementara saya mencari pengganti pengarah yang lain. Dia selesaikan tujuh episod dan Isnin lalu adalah hari terakhir dia menjalankan penggambaran.
"Sekalipun jika dia tidak menyatakan mahu menarik diri, saya tetap akan berhentikan dia kerana saya mengikut undang-undang. Tetapi dia yang cakap dulu dan secara tidak langsung memudahkan pihak saya. Saya hormati tindakan dia bahkan saya tahu dia sayangkan kerja dia. Pada saya, dia antara pengarah yang cukup berpontensi besar dan jika ada peluang saya akan kembali ambil dia bekerja pada masa akan datang," ujarnya.
Rosyam juga menghormati keputusan Ika Nabella yang turut mengambil keputusan menarik diri. Wataknya telah digantikan dengan pelakon baharu, Puteri Najwa.
"Saya tidak menyebelahi mana-mana pihak. Tetapi kejadian ini ada hikmahnya dan satu pengajaran yang besar buat Azma juga Ika," katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post