Jurucakap Trump Pakai Rantai Peluru Hidup Di Televisyen

KEMPEN Donald Trump untuk muncul sebagai presiden Amerika Syarikat ke-45 sememangnya sinonim dengan kontroversi. Kali ini giliran salah seorang jurucakap Trump pula mencuri tumpuan.
Katrina Pierson tampil dalam satu rancangan di CNN dengan rantai di leher yang kelihatan diperbuat daripada peluru.
Selepas rancangan tersebut berakhir, pengacara Jim Sciutto mengirim soalan kepada Pierson menerusi Twitter:
“Kami terlihat rantai peluru awak ketika bersiaran. Adakah wujud sebarang mesej di sebaliknya?"
Tanpa segan silu, Pierson mengesahkan dalam twit beliau bahawa rantai itu diperbuat dari peluru sebenar.
Tindakan Pierson mengundang pelbagai respon di Twitter. Ada yang menganggap tindakan tersebut tidak sensitif memandangkan beberapa kejadian tembakan yang berlaku di negara tersebut belakangan ini.
Ada juga yang berpendapat tindakan tersebut merupakan hak peribadi Pierson yang tidak sepatutnya dikecam.
Salah satu respon datang dari Shannon Watts, seorang pejuang kawalan senjata dan pengasas gerakan Moms Demand Action for Gun Sense in America.
Watts bertindak menyindir Pierson di Twitter dengan mengatakan tindakan jurucakap Trump itu “mungkin untuk memberi kesedaran tentang 90 orang rakyat Amerika yang ditembak mati setiap hari.”
Sindiran tersebut tidak memberi kesan kepada Pierson malah dibidas semula.
Menurut Pierson, mungkin selepas ini dia akan memakai rantai berhias janin sebagai mewakili 50 juta orang yang digugurkan dan tidak sempat berada di Twitter.
Bidasan ini dilihat menyelar pandangan golongan Demokrat yang rata-rata bersetuju agar pengguguran dibenarkan.
Katrina Pierson merupakan antara jurucakap Trump paling aktif dan sentiasa muncul di kaca televisyen untuk menyampaikan komentar politik berkenaan perkembangan kempen Trump.
Kempen Trump yang dilihat membangkitkan sentimen perkauman dan anti-Islam sudah diselar pelbagai pihak termasuklah lagenda tinju Muhammad Ali, pejuang pendidikan Malala Yousafzai, ketua pegawai eksekutif Google Sundar Pichai, pengarah filem Michael Moore, dan bintang Hollywood Tyrese Gibson.

Post a Comment

Previous Post Next Post