Saya dulu suka pukul anak saya. Salah sikit saya pukul. Salah itu saya pukul.


Isteri saya balik lambat kerja hari ini. Katanya doktor pakar yang pusing wad kali ini jenis suka bersembang. Dia yang sarat mengandung terpaksalah ikut mendengar sambil terkantuk-kantuk. Yelah dari malam tadi tak sempat tidur.
Walaubagaimana pun terdapat satu cerita yang dia dengar dengan teliti.
---
.
"Budak budak ni tak boleh nak berkasar. Hal ni terjadi kepada saya. Kisahnya, saya dulu suka pukul anak saya. Salah sikit saya pukul. Salah itu saya pukul.
.
Mak mentua saya melihat perbuatan saya itu. Dia menegur jangan pukul kepala anak. Tak baik. Nanti anak jadi bodoh.
.
Dengan sinis saya menjawab, "Biar bodoh tapi jangan kurang ajar."
.
Mak mentua saya diam terasa.
.
Akibat anak lelaki saya itu terlalu nakal, saya mengadu kepada ibu saya.
.
"Anak kau tu satu pertiga nakal daripada kau dulu," komen ibu saya.
.
Saya tersentak. "Satu per tiga? Maksudnya saya lebih nakal daripada cucunya? Macam mana mak saya kawal saya dulu?"
.
Saya diam. Balik tu saya tanya anak saya.
.
"Along sayang papa tak?"
.
Dengan pantas dia menjawab, "Tak."
.
Saya terdiam. "Kenapa?"
.
"Sebab papa suka pukul bontot."
.
Saya menelan air liur. Saya tahu kanak-kanak tidak pandai berbohong. Apa yang keluar dari mulut mereka hanyalah kata-kata kejujuran.
.
Semenjak dari peristiwa itu, saya mula belajar menurunkan ego saya. Memang sukar pada awalnya. Tangan ni asyik nak angkat je bila anak buat salah.
.
Apabila ada je anak saya buat salah, saya terus keluar rumah. Kalau tak tahan juga, saya terus pandu kereta keluar.
.
Saya kekal istiqamah turunkan ego saya.
.
Dulu saya tahu mendidik anak dengan pelempang sahaja. Mana taknya, ayah saya garang. Dia mendidik saya begitu. Tetapi itulah. Yang dianggap betul tak semestinya betul.
.
Di samping itu saya mula belajar cara mendidik anak dengan betul. Saya mula membaca buku-buku pendidikan kanak-kanak.
.
Pada suatu hari saya lihat anak saya bermain di ruang tamu. Saya bertanya soalan sama seperti dua tahun lepas. "Along sayang papa tak?"
.
Dia ralit bermain lego. Muka polos itu kejap kejap memandang saya. Saya menunggu jawapannya.
.
"Sayang." jawabnya ringkas. Terus bermain lego.
.
Allah. Mata saya berkaca. Perkataan yang seorang ayah menantikan daripada seorang anak yang dikasihinya.
.
Jadi, kesimpulannya mendidik anak ada caranya. Bukan dengan maki hamun mahupun tangan dan kaki. Sayangilah anak-anak kita.
.
---
.
nota: Begitulah intipati ceritanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post