Beri saya peluang jelaskan kenapa saya ‘serang’ Najib – Tun Mahathir

Tun Dr Mahathir Mohamad berharap ahli-ahli UMNO memberi peluang untuknya menjelaskan kenapa beliau mengkritik pentadbiran perdana menteri  Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bekas Perdana Menteri itu berharap peluang diberikan kepadanya untuk membolehkan ahli UMNO menilai sama ada beliau merosakkan parti atau tidak.

“Jika ada yang fikir saya merosakkan parti, saya harap saya diberi peluang untuk menjelaskan kenapa saya “menyerang” Datuk Seri Najib.

“Bagi saya serangan ini mungkin tidak menyenangkan Najib dan sebahagian daripada ahli UMNO tetapi sebabnya ialah kerana saya ingin menyelamatkan UMNO, parti keramat yang dahulu disokong sehingga menang 2/3 tiap PRU,” katanya dalam tulisan terbaru di blognya chedet.cc hari ini.

Dalam tulisan tersebut, Dr Mahathir berterima kasih kepada ahli UMNO, yang sebahagiannya menasihatkan beliau menghentikan serangan terhadap Najib.

Namun jelas beliau, pengalaman dalam bidang politik, terutama yang berkaitan dengan budaya Melayu membuktikan berlaku kesetiaan kepada pemimpin sehingga tidak menyoal apa yang dilakukan..

“Kita cenderung untuk setia kepada pemimpin. Kita tidak soal apa-apa yang dilakukan oleh pemimpin. Dia pemimpin, kita pengikut. Oleh itu, ikut sahajalah. Lebih-lebih lagi apabila kita diberi penerangan olehnya secara tertutup seolah-olah kita dapat berkongsi rahsia dengan pemimpin kita,” tulis beliau lagi.

Najib, kata Dr Mahathir lebih lemah berbanding Tun Abdullah Ahmad Badawi kerana prestasinya dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lebih menurun.

“Hanya mereka yang tidak dapat lihat sahaja yang tidak sedar bahawa UMNO dibawah Dato’ Sri Najib telah gagal memulih UMNO selepas Tun Abdullah.

“Kemenangan Najib lebih tipis,” katanya.

Dr Mahathir berharap, beliau dapat bertemu  ahli UMNO biasa untuk menerang akan masalah kehilangan berbillion ringgit.

“Lepas mendengar kedua-dua pihak adililah terhadap “serangan” saya. Apakah saya sedang merosakkan parti atau mencuba menyelamatkanya,” ujar beliau.

Post a Comment

Previous Post Next Post