Seorang wanita cedera di beberapa bahagian badan dipercayai dipukul teman lelakinya akibat cemburu.
Menurut sumber, teman lelakinya yang berusia 52 tahun itu memukulnya menggunakan hulu kapak kerana cemburu terhadap komen lelaki lain di laman sosial Facebook milik wanita berkenaan.
Difahamkan, wanita itu menjalin hubungan dengan suspek sejak dua tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
Menurutnya, kejadian berlaku pada jam 11.30 malam, Khamis lalu di rumah yang didiami mereka di Kampung Pisang Awak, Kampung Melayu di sini.
“Menurut wanita berkenaan, dia tinggal bersama teman lelakinya yang merupakan ahli Pasukan Keselamatan Sukarela Pulau Pinang (PKS) itu lebih dua tahun lalu. Sebelum kejadian, mangsa bergaduh dengan suspek menyebabkan suspek berang lalu memukul suspek dengan hulu kapak di beberapa bahagian badannya. Mangsa kemudiannya dihalau dari rumah oleh suspek.
“Hasil siasatan mendapati, mangsa dipukul kerana teman lelakinya itu cemburu terhadap komen seorang lelaki yang memuji mangsa cantik di Facebook. Teman lelakinya juga menuduh mangsa mempunyai teman lelaki lain namun mangsa menafikannya,” katanya.
Menurutnya, mangsa mengalami bengkak di mata kanannya, lebam di tangan serta keseluruhan tubuhnya sakit akibat dipukul suspek.
“Pada mulanya mangsa tidak mahu memanjangkan kes dengan memanggil mangsa ke balai polis untuk berbincang namun suspek gagal dihubungi. Serbuan ke rumah suspek juga gagal kerana dia dipercayai melarikan diri.
“Polis masih memburu suspek namun identitinya sudah dikenalpasti selain senjata yang digunakan dipercayai sebilah kapak turut gagal ditemui. Siasatan awal mendapati, suspek mempunyai rekod lampau antaranya kes dadah, membuat ugutan dan mencuri. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan,” katanya.
Sumber: Sinar Harian