Sebelum bersedia menaja pasukan bola sepak Kelantan, Datuk Seri Vida menetapkan dua syarat yang perlu dipatuhi Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dalam berdepan saingan Liga Malaysia musim 2016.
"Soal tajaan, saya tidak kisah... Jika mereka tidak cukup perbelanjaan, saya boleh salurkan. Mereka memerlukan dana secepat mungkin dan saya bersedia membantu tetapi bersyarat.
"Syarat pertama, Stadium Sultan Muhammad IV dicat dengan warna merah jambu kerana ia dapat menghasilkan satu kelainan kepada penyokong bola sepak Kelantan.
"Kedua, nama pasukan seharusnya ditukar kepada Pamoga Qu Puteh The Red Warriors seperti Negeri Sembilan yang menukar nama pasukan itu kepada NS Matrix.
"Biarlah kita sama-sama membangunkan pasukan Kelantan yang dulunya amat disegani oleh pasukan lain," katanya memetik Berita Harian, hari ini.
Datuk Seri Vida memaklumkan rundingan awal antara pihaknya, Vida Beauty Sdn Bhd dengan KAFA menemui jalan buntu.
Namun pihaknya bersedia untuk berunding dengan lebih lanjut berhubung hal penajaan itu.
"Bagi saya permintaan KAFA tiada masalah, cuma bila saya tunaikan, mereka perlu memberi ruang kepada saya untuk melakukan sesuatu yang positif kepada pasukan.
"Saya memang terpanggil untuk menjadi sebahagian daripada pasukan ini memandangkan saya berasal dari Machang, Kelantan. Saya pasti rundingan akan dilakukan lagi kerana KAFA memang memerlukan bantuan saya," katanya.
Tags:
CCS