Istana Arab Saudi Sah Derma Kepada Najib Tun Razak?


ALKISAH sebelum ini sudah ada cakap-cakap dari mereka yang rapat dengan koridor kuasa bahawa dana yang menjadi kontroversi RM2.6 bilion (jumlah sebenar RM2.08 bilion) datang daripada individu di Asia Barat.

Lebih tepat ia sebenarnya adalah sumbangan ihsan terus pemimpin tertinggi Arab Saudi sendiri, Almarhum Raja Abdullah ibn Al-Saud yang mangkat awal tahun lalu sebelum digantikan dengan kakandanya, Raja Salman.

Dengan khabar ia sebahagian daripada dana khas untuk membantu negara-negara Islam aliran sederhana demi memastikan tiada revolusi lagi Arab Spring yang merugikan umat Islam seperti berlaku di Mesir, Libya dan Syria.

Jika diimbas balik, suasana sebelum Pilihan Raya Umum pada 2013 memang ‘panas’ apabila pembangkang di Malaysia begitu galak menganjurkan pelbagai perhimpunan politik di sana sini bagi maksud menggulingkan BN.

Tindakan itu menimbulkan kebimbangan banyak pihak jika sekiranya Malaysia akan jadi macam Mesir, Libya dan Syria malah lebih teruk, ‘suhu politik’ di negara-negara Arab Spring masih belum stabil waima bertukar kerajaan.

Pagi Rabu, media antarabangsa terkenal BBC di London menyiarkan laporan memetik sumber pihak Istana Arab Saudi mengesahkan dana sebanyak AS$681 juta pernah dimasukkan ke dalam akaun Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ia sebenarnya adalah sumbangan peribadi langsung daripada bekas pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah yang dipetik BBC sebagai amat prihatin dengan ketidakstabilan siasah rantau Timur Tengah ekoran Arab Spring.

Untuk rekod, Arab Spring dihasilkan pihak perisikan Zionis Israel bagi menumbangkan kerajaan Islam Arab di wilayah Asia Barat dan Afrika Utara dengan menghasut rakyat bangkit menggulingkan pemerintahan sedia ada.

Revolusi ganas itu berjaya mengalihkan perhatian rakyat negara-negara terlibat dan dunia daripada isu pokok iaitu konflik berdarah di Palestin sekali gus melindungi Israel apabila dikelilingi jiran-jiran yang lemah pentadbirannya.

Berbalik isu derma itu, inilah kali pertama nama Raja Abdullah disebut secara terbuka dan memang baginda masa hayatnya dikenali bina pengaruh dengan banyak sumbang bantuan dana kepada institusi Islam di seluruh dunia.

Ini kerana Arab Saudi, negara letaknya dua kota suci Islam Makkah dan Madinah, berasakan mereka merupakan ‘payung’ umat Islam setelah runtuhnya empayar terakhir khalifah Uthmaniyyah pasca Perang Dunia Pertama.

Namun Arab Saudi masa sama melalui hubungan baik dengan Amerika Syarikat (AS), menggunakan kekayaan hasil minyaknya secara rahsia menyalurkan ratusan juta riyal setiap tahun kepada negara-negara umat Islam.

Justeru mengimbas kisah dana itu, BBC memetik sumber Istana Arab Saudi yang berkata, sumbangan ini adalah untuk pilihan raya umum di Malaysia dan dilakukan menggunakan dana milik peribadi Raja Abdullah sendiri.

Ia dipindahkan melalui Bank Swiss cawangan Singapura pada 2013 dan di sinilah mungkin maklumat itu bocor kepada akhbar pro-Zionis, The Wall Street Journal di AS dengan putar belit cerita konon ia dana berbaur rasuah.

Sedihnya, almarhum Raja Abdullah mangkat pada 23 Januari 2015 dalam usia 90 tahun dan secara kebetulan cerita fitnah ini muncul juga pada tahun lalu, sekali harung dengan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Untuk rekod, Najib memang mempunyai hubungan yang baik dengan kerabat diraja Arab Saudi sejak menjadi Perdana Menteri, malah melakukan kunjungan rasmi hampir setiap tahun bertemu pemimpin negara Teluk itu.

Waktu sama, Najib berpeluang mengerjakan umrah dan ziarah. Difahamkan idea penubuhan 1MDB timbul ketika Najib bertemu almarhum Raja Abdullah sebagai sayap pelaburan negara menghadapi krisis ekonomi global.

Menyentuh tohmahan jahat pembangkang kenapa tidak dedah identiti penderma masa mula-mula lagi, di sini sudah nampak ‘permainan spin‘ mereka setelah kantoi fitnah dahsyat Perdana Menteri sepanjang 2015 lalu.

Walhal Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sendiri dalam laporan awal siasatan memaklumkan berjaya menemui penderma misteri itu yang memohon agar identiti dirahsiakan demi mengelak prasangka buruk.

Perkara ini bagaimanapun dibongkar penulis blog terkenal, Raja Petra Kamaruddin dan MYNEWSHUB tahun lalu namun ramai tidak percaya. Demi ‘bersih’ nama, Najib mengarahkan terus SPRM sendiri menangani isu tersebut.

Tujuan Perdana Menteri berbuat demikian sebenarnya bagi memulihkan persepsi kerana jika beliau sendiri yang bercakap, mungkin ramai kata konon ia bohong, maka biarlah pihak SPRM menguruskan hal itu sehingga selesai.

Sebenarnya bukanlah amalan luar biasa penderma merahsiakan identiti untuk tidak disalah anggap sebagai riak, malah dalam kalangan kita pun jika derma mungkin sekadar tulis Hamba Allah bagi menutup nama sebenar.

Kenapa hanya Perdana Menteri dapat dana semewah itu? Sebetulnya itu adalah hak pregerogatif Raja Arab Saudi atau cakap mudah, ikut ‘suka hati’ bagindalah hendak derma kepada siapa dipilihnya macam juga manusia biasa.

Lagipun ramai bilionaire terkenal di Barat derma berbilion-bilion dolar kepada individu yang dipercayainya untuk tujuan amal tertentu dan ia bukan satu kesalahan tetapi dirujuk sebagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat.

Hakikatnya sidang akhbar Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali adalah penutup kes ‘membersihkan’ Najib daripada dakwaan rasuah selepas siasatan SPRM mendapati wang itu sah sumbangan keluarga diraja Saudi.

Namun tidak disebut siapakah kerabat Arab Saudi tersebut. Najib sebelum ini pernah menafikan bahawa wang itu datang dari dana pelaburan milik negara 1MDB, seperti dakwaan yang dibuat oleh musuh-musuh politik beliau.
Dari segi moral, kes ini mendedahkan betapa Perdana Menteri amat amanah simpan rahsia identiti penderma dan bukti menunjukkan beliau amat dipercayai Arab Saudi; sifat murni yang tiada langsung pada pembangkang kita!
Setakat ini belum pernah rakyat diberitahu siapakah penderma misteri berbilion ringgit masuk ke dalam akaun pembangkang, tetapi mereka ‘sakit jiwa’ terkejut bila Raja Arab Saudi bantu secara rahsia Perdana Menteri kita.
Berikut adalah kenyataan Peguam Negara dalam sidang akhbar pada Selasa mengenai isu sumbangan tersebut:
Saya telah mengkaji dengan teliti keseluruhan keterangan saksi-saksi dan dokumen-dokumen ser­ta maklum balas yang diberikan oleh pihak SPRM berkaitan klarifikasi yang dimohon sebelum ini berhubung satu kertas siasatan berkaitan kes yang dikatakan melibatkan dana RM2.6 bilion dan dua kertas siasatan berkaitan kes SRC International yang telah dikemukakan kembali kepada saya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
A. RM2.6 Bilion
1. Berhubung kertas siasatan berkaitan dana yang dikatakan berjumlah ‘RM2.6 bilion’ yang dimasukkan ke dalam akaun YAB PM (Yang Amat Berhormat Perdana Menteri), saya berpuas hati bahawa keterangan saksi-saksi dan dokumen-dokumen sokongan yang di­ke­mukakan oleh pihak SPRM kepada saya menunjukkan bahawa dana yang dimasukkan ke dalam akaun YAB PM berjumlah AS$681 juta (RM2.08 bilion) di antara tarikh 22.03.2013 dan 10.04.2013 adalah merupakan sumbangan peribadi kepada YAB PM daripada keluarga diraja Arab Saudi dan telah diberikan kepada beliau tanpa apa-apa balasan.
2. Pihak SPRM sendiri di dalam siasatan telah menemui dan merakamkan percakapan saksi-saksi termasuk pemberi sumbangan dana tersebut yang mengesahkan sumbangan tersebut diberikan kepada YAB PM secara peribadi.
3. Saya berpuas hati bahawa tiada keterangan yang menunjukkan bahawa dana tersebut adalah suatu bentuk suapan yang diberikan secara rasuah. Keterangan daripada siasatan tidak menunjukkan sumbangan dana tersebut diberikan sebagai dorongan atau sebagai upah untuk melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan kapasiti beliau sebagai seorang Perdana Menteri.
4. Tambahan pula, dalam bulan Ogos tahun 2013, wang sejumlah AS$620 juta (RM2.03 bilion) telah dikembalikan semula oleh YAB PM kepada keluarga diraja Arab Saudi kerana dana tersebut tidak diguna pakai.
5. Berdasarkan keterangan saksi-saksi dan dokumen-dokumen sokongan yang dikemukakan, saya berpuas hati bahawa tidak terzahir apa-apa kesalahan jenayah berhubung sumbangan dana RM2.08 bilion tersebut.
6. Berhubung perkara ini juga, saya juga berpuas hati bahawa tiada keperluan bagi Malaysia untuk membuat permintaan ban­tuan bersama dalam perkara jenayah (mutual legal assistance) kepada mana-mana negara asing bagi tujuan melengkapkan siasatan jenayah yang dijalankan oleh pihak SPRM memandangkan tidak terzahir apa-apa kesalahan jena­yah berhubung sumbangan dana RM2.08 bilion tersebut.
– Sumber MYNEWSHUB.CC/HAA

Post a Comment

Previous Post Next Post