Sebelum ini, Afdlin Shauki menerusi Instagram telah mengkritik penaja popular Pamoga Qu Puteh iaitu Datuk Seri Vida yang telah membuat sign di pipi bersama-sama pegawai dan pemain The Red Warriors(TRW).
Terkini, Afdlin telah tampil memberi penjelasan mengenai dirinya yang tidak boleh menerima keadaan apabila pihak penaja cuba menentukan atau mengubah budaya dan integriti sesebuah pasukan bola sepak.
Afdlin atau nama sebenarnya Afdlin Shauki Aksan, 44, berkata yang dia ada sebab mengkritik Datuk Seri Vida yang dilihat cuba menentukan budaya dan integriti pasukan bola sepak Kelantan,(TRW).
"Saya bangga ada syarikat tempatan yang menaja sesebuah pasukan bola sepak. Tetapi janganlah hanya satu pihak yang menentukan segala-galanya sehinggakan budaya dan integriti pasukan bola sepak itu berubah.
"Sehinggakan untuk bergambar pun, pasukan TRW perlu beraksi dua jari di pipi, seperti yang sering dibuat oleh Datuk Seri Vida, bagi saya itu sudah melampau," ujar Afdlin dipetik sebagai berkata.
Untuk makluman, status yang dimuat naik Afdlin itu telah menarik perhatian ramai dan ada yang mengkritik pendapatnya dan pada masa sama ada juga yang menyokongnya.
Bagaimanapun, Afdlin tidak kisah sekiranya ada pihak yang menghentamnya gara-gara status tersebut kerana apa yang disampaikan itu sekadar sebuah pendapat.
"Ini hanya pendapat dan saya tidak paksa mana-mana pihak untuk menyokong saya. Apa yang saya cuba sampaikan ialah walaupun pasukan bola sepak itu ditaja, biarlah perjanjian yang dibuat sesuai dan memberi keuntungan kepada kedua-dua belah pihak.
"Saya juga meminati pasukan bola sepak tempatan dan pendapat yang saya luahkan itu dibuat dengan cara penuh hormat. Saya pun suka merah jambu. Cuma tak payahlah beraksi (gaya jari di pipi). Hilang warrior dah," jelasnya.
Pengasas produk kecantikan Qu Puteh itu menetapkan dua syarat sebelum bersedia menaja pasukan itu untuk menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2016.
Dua syarat tersebut melibatkan perubahan kepada warna Stadium Sultan Muhammad IV kepada merah jambu, manakala nama The Red Warrior ditukar menjadi Pamoga Qu Puteh The Red Warriors.
Namun, syarat yang ditetapkan tersebut mendapat kritikan di kalangan penyokong pasukan itu yang menyifatkan ia sebagai tidak sesuai dengan imej garang Kelantan.
Sumber: mStar
Tags:
OMG