Kekayaan Presiden Russia Vladimir Putin bernilai RM170 bilion melampau

Vladimir Putin - Sumber gambar dari www.telegraph.co.uk

Vladimir Putin – Sumber gambar dari www.telegraph.co.uk

Pemilik Kelab Bola Sepak Chelsea, Roman Abramovich didakwa menghadiahkan Presiden Vladimir Putin kapal layar bernilai £25 juta (RM152 juta) selepas lelaki itu menjadi presiden.

Hadiah itu dilaporkan hanya sebahagian kecil kekayaan Putin yang dianggarkan £28 bilion (RM170 bilion). Kapal layar sepanjang 57 meter yang dinamakan Olympia itu mampu memuatkan 10 penumpang dan 16 anak kapal.

Perkara itu didedahkan selepas pegawai Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) menuduh Putin rasuah, nepotisme dan menggelapkan wang kerajaan.

Kekayaan presiden Russia itu – yang gaji rasminya berjumlah £80,000 (RM457,000) – sudah lama menjadi topik perbualan dan spekulasi.

Pesaing politiknya mendakwa mempunyai dosier yang menunjukkan Putin memiliki lebih 20 istana dan rumah tumpang di kawasan perkampungan, selain 58 pesawat serta helikopter.

Laporan itu turut mendakwa dia menggunakan jet peribadi dengan kabin bernilai £110 juta (RM669 juta) dilengkapi kemasan emas dan tandas bernilai £50,000 (RM304,000).

Putin yang minggu lalu dituduh mengarahkan pembunuhan bekas perisik KGB, Alexander Litvinenko di London, sering menggambarkan dirinya sebagai ‘orang kebanyakan’ untuk meraih sokongan politik.

Kelmarin, pegawai Perbendaharaan AS Adam Szubin yang bertanggungjawab memantau sekatan oleh jabatan itu berkata, kerajaan AS ‘sudah tahu mengenai rasuah Putin selama beberapa tahun.’

Antara kekayaan lain dimilikinya termasuk istana bernilai £500 juta (RM3 bilion) di persisir Laut Hitam selain kediaman seluas 2,300 ekar di Tasik Valdai, barat laut Russia.

Dmitry Skarga, yang menjalankan firma pelayaran kerajaan Russia, Sovcomflot berkata, dia menyelia proses pemindahan kapal layar itu.

“Memang Abramovich memindahkan kapal layar itu kepada Putin melalui pekerjanya. Saya berada di atas kapal itu pada akhir Mac 2002 di Amsterdam,” katanya.

Peguam Abramovich berkata, dakwaan itu tidak mempunyai bukti.

Dia bagaimanapun tidak menafikan bahawa Abrahamovich ada menghadiahkan kapal layar kepada Putin.

Mengulas mengenai tuduhan itu, jurucakap Putin berkata, dakwaan itu ‘rekaan semata-mata.’ – Agensi

Sumber: Harian Metro

Post a Comment

Previous Post Next Post