Kenapa Adik Hasif Tidak Senyum?
Sesiapa sahaja boleh mengagak daripada wajah ini. Ya, waktu begini, kanak-kanak yang alami kehilangan orang tersayang sukar untuk senyum.
Bahkan mungkin mereka tidak tahu cara untuk senyum memandangkan terlalu lama tidak senyum dengan sengaja. Saya sendiri belajar dan berlatih senyum sewaktu di tingkatan 5 di hadapan cermin walaupun sebelum itu mungkin tersenyum tanpa sengaja.
Tuan puan tenung mata anakanda Hasif dalam gambar ini dalam-dalam. Kita boleh fahami Hasif 'menelan' segalanya yang berlaku. Menelan dalam kepahitan, menyukat emosi dalam kepayahan.
Sebagai kanak-kanak yang belum baligh, sukar untuk orang dewasa memahami apa yang berlaku dalam hati mereka. Jangan risau, kanak-kanak seperti ini tidak akan meroyan sebarangan. Mereka akan menyukat sendiri emosi melalui minda separa sedar bahawa mereka sudah kehilangan orang tersayang.
Jadi, mereka lalui sahaja hidup seharian tanpa tujuan yang spesifik. Sebelum mereka menemui impian sebenar dalam diri mereka. Apabila mereka mula memerhati dan meneliti, mereka akan mula bertindak.
Apa yang penting, jangan diasak dengan soalan yang bukan-bukan. Jangan ditanya lagi peristiwa pahit itu. Dia mungkin boleh cerita satu persatu, namun dalam hatinya tiada siapa yang tahu.
Buat anakanda Hasif, senyumlah walaupun ia sukar. Berkawan-kawanlah dengan sesiapa sahaja. Tidak mengapa banyak bercakap dengan kawan-kawan.
Pakcik sangat risau Hasif teringatkan umi. Betul-betul risau. Pakcik dulu tidak teringat sangat memandangkan ibu Pakcik tiada waktu Pakcik 5 tahun. Kenangan bersama ibu tidak sebanyak Hasif.
Cuma pernah satu ketika sewaktu di sekolah. Waktu itu Pakcik darjah 6, waktu itu Pakcik kerap teringatkan ibu, apa Pakcik buat?
Waktu loceng waktu pulang berbunyi. Pakcik akan tunggu di dalam kelas dahulu. Pakcik tidak mahu lihat kawan-kawan bersama ibu-ibu mereka. Itu yang Pakcik buat ketika di sekolah. Ada kala Pakcik merayau-rayau di kawasan sekolah bersama kawan-kawan seketika. Itupun tidak lama. Lama-lama hati kita akan kental. Kita akan jadi orang kuat.
Jika Hasif alami saat begitu, Hasif boleh tunggu dahulu dalam kelas sekejap. Bolehlah siapkan kerja sekolah atau melukis apa-apa yang Hasif suka.
Di saat ini senyum itu memang sukar. Apabila kita senyum seketika, hati kita turut gembira. Apabila hati gembira, kita mudah belajar. Hasif senyum ya, jangan jadi seperti Pakcik dulu.
Tags:
BP