Menteri cabar NGO tunjuk pelajar kelaparan
Datuk Seri Idris Jusoh menolak tinjauan yang menunjukkan tiga daripada empat pelajar di universiti awam tidak mampu membeli makanan akibat masalah wang.
Menteri pengajian tinggi berkata bancian Pertubuhan Sukarelawan Muslim Malaysia (MVM), yang diterbitkan awal bulan ini, “cacat”.
Beliau juga menggesa pertubuhan itu menunjukkan metodologi tinjauan itu kerana maklumat berbeza diperolehinya daripada institusi pengajian tinggi.
“Hampir mustahil hasil tinjauan MVM seperti itu kerana saya sudah berbincang dengan institusi awam dan swasta, politeknik dan kolej komuniti berhubung hal ini.
“Saya mendapati mereka semua komited dalam membantu pelajar menyelesaikan masalah kewangan,” katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata pelajar yang berdepan kesukaran sebagaimana digambarkan dalam tinjauan tersebut boleh berjumpa bahagian hal ehwal pelajar untuk bantuan.
Pada 2 Januari lalu, kaji selidik MVM mendapati 57 peratus mahasiswa hanya memperuntukkan RM5 sehari untuk makanan.
Sebanyak 41 peratus hanya makan mi segera, manakala 44 peratus hanya makan “nasi bujang.”
Kajian itu melibatkan 25,632 mahasiswa di enam universiti, termasuk Universiti Tekonologi Mara (UiTM), Universiti Malaya (UM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Tinjauan juga mendapati 96 peratus, atau 24,720 mahasiswa, terbeban dengan keadaan ekonomi semasa dan 74 peratus (18,765) pernah berada dalam situasi tidak berduit untuk makan.
Sumber: The Malay Mail Online