Bapa kepada pelakon kepada Mia Sara iaitu Muhammad Ridhuan Muhammad Saleh berharap anaknya tidak dikritik memandangkan anaknya itu masih lagi mengikat kontrak untuk beberapa drama yang memerlukannya tidak bertudung.
"Sebelum ini Mia telah mengikat kontrak untuk beberapa siri drama yang memerlukan dia tidak bertudung.
"Oleh itu Mia akan tampil tanpa hijab untuk beberapa buah drama buat masa ini. Saya harap, tiada yang menghentam. Apatah lagi niatnya ingin berubah untuk menjadi seorang Islam yang baik, jadi biarlah dia melalui proses belajar itu," ujarnya seperti yang dilaporkan mStar online.
Mia, 11, mengambil keputusan bertudung sejak pulang dari menunaikan ibadah Umrah di Mekah pada tiga minggu lalu.
Dalam pada itu, kata Ridhuan, sekiranya selepas ini Mia kurang mendapat tawaran kerana perubahan imej itu, dia dan anaknya sedia menerima perkara itu dengan hati yang terbuka.
Malah Ridhuan yakin, niat baik anaknya mahu bertudung akan memberi rahmat dan mungkin rezeki yang diberi bukan daripada bidang seni lakonan.
Perkembangan lain, Mia bakal muncul menerusi telefilem Supergame Boy pada Mac ini selain menjadi duta kepada produk kesihatan Caliph Supplement.
Dalam pada itu Mia juga mula menjinakkan diri dalam bidang perniagaan tudung menerusi label miliknya, MS Couture.