KUALA LUMPUR: Nasib seorang pelajar Malaysia yang sedang melanjutkan pengajian di Universiti Winnipeg, Kanada berubah sekelip mata kerana dibuang keluarga selepas ibunya mengetahui dia seorang gay dan ateis – tidak percaya kewujudan Tuhan.
Sebelum ini, pengajian Hazim Ismail, 20-an, pelajar dalam jurusan psikologi dibiayai oleh ibunya.
Bagaimanapun, difahamkan ibunya enggan membiayai pengajiannya selepas gambar dia bersama rakannya di bar gay di Winnipeg pada akhir tahun lalu terdedah.
Akibatnya, Hazim terpaksa meminta bantuan daripada orang ramai dengan membuka halaman GoFundMe pada November lalu untuk mengumpul dana bagi meneruskan pengajiannya bagi sesi sementer 2016
Hazim menerusi halaman tersebut menulis dana pendidikannya disekat oleh keluarganya kerana dia seorang gay dan ateis.
“Saya bergelut dengan masalah gangguan personaliti dan selepas disisih oleh keluarga, saya hampir putus asa menghadapi cabaran hidup.
“Hubungan saya terjejas kerana keengganan saya untuk meminta bantuan... Jadi, disini saya meminta kepada siapa yang ingin menderma kepada saya,” tulisnya di laman tersebut.
Sementara, CTV melaporkan, usaha Hazim untuk memohon bantuan akhirnya membuahkan hasil apabila dia berjaya memperoleh $5,365 (RM23,503) iaitu lebih daripada sasaran $5,000.
Hazim ketika ditemubual CTV meluahkan perasaan bimbang selepas personalitinya terdedah.
"Di Malaysia, saya perlu berhati-hati dan ia sangat memberi tekanan.
“Saya mungkin boleh dimasukkan dalam penjara atau dihantar ke pusat pemulihaan,” katanya dalam temubual tersebut yang disiar pada 7 Disember tahun lalu.
Hazim, bagaimanapun berterima kasih kepada masyarakat Winnipeg yang memberi sokongan kepadanya.
Dalam pada itu, Universiti Winnipeg dilaporkan turut mengeluarkan kenyataan sebagai memberi sokongan kepada Hazim.
“Hazim seorang yang berani dan pintar. Kami berbangga dengan kehadirannya sebagai pelajar kami dan akan sentiasa memantau kempen GoFundMe dengan memastikan dia mampu menyempurnakan pengajian musim sejuk di sini,” petik kenyataan Universiti Winnipeg.
Tags:
BP