LONDON: Seorang pelajar Malaysia maut setelah dilanggar oleh tren bawah tanah di Stesen Marble Arch di sini dalam kejadian pada petang Isnin.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 6.26 petang itu, Muhamad Aaron Maseri, 22, pelajar dari Universiti Middlesex dilaporkan dalam perjalanan pulang ke rumah di laluan Central ketika waktu puncak.
Laporan dari akhbar The Standard menyebut, jurucakap Pengangkutan London berkata mangsa masih lagi hidup sejurus dilanggar namun dia disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang tiba bagi merawat mangsa.
Kejadian menyebabkan beberapa perjalanan tren ditangguhkan bagi membolehkan siasatan berjalan.
Dalam perkembangan yang sama, pihak Polis Trafik British berkata hasil siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian tersebut.
Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai kemalangan.
Akhbar tersebut juga menulis, seorang saksi, Chris Green yang berada dalam tren tersebut berkata beliau mendengar pemandu membunyikan hon sebelum tren itu dihentikan secara tiba-tiba.
"Saya melihat melalui cermin tingkap dan melihat ramai orang berlari ke arah laluan keluar platform," katanya sebagaimana lapor BH Online.
Ibu bapa mangsa, yang turut berada di London untuk menghadiri majlis konvokesyen abangnya juga sudah dimaklumkan mengenai kejadian. - Siakapkeli.my
Tags:
OMG