“Saya ‘lemas’ kerana banyak sangat persatuan bola sepak negeri menghubungi saya, terlajak banyak!” – Datuk Aliff Syukri diburu kelab bola sepak mahu tajaan
Pengasas syarikat kosmetik dan produk berjenama D’Herbs, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman, bakal mengikut jejak langkah pesaingnya Datuk Seri Dr Hasmiza Othman yang juga pemilik Vida Beauty Sdn Bhd menaja kelab bola sepak tempatan.
Namun Aliff Syukri yang terkenal dengan tagline “Terlajak Laris” mengakui berasa lemas apabila diburu beberapa kelab yang memintanya menjadi penaja pasukan mereka.
“Saya sebenarnya tengah ‘lemas’ kerana banyak sangat persatuan bola sepak negeri menghubungi saya, terlajak banyak.
“Mereka menghubungi saya untuk minta menjadi penaja,” katanya dipetik laporan akhbar Berita Harian, hari ini.
Aliff Syukri, 29, bagaimanapun buat masa ini enggan mendedahkan nama kelab berkenaan, sebaliknya mahu membuat kenyataan rasmi dalam sidang media.
Beliau juga mahukan sedikit masa memikirkan untuk menaja pasukan Liga M yang sesuai kerana ia melibatkan risiko modal yang besar.
“Saya dalam proses [perbincangan]. Kita pun nak tengok mana yang terbaik dan saya tak nak salah langkah hingga menyebabkan produk saya jatuh dan sebagainya.
“Lebih dari tiga atau empat negeri yang tawarkan saya jadi penaja, cuma saya tak nak main ambil sahaja sebab modal besar,” katanya.
Minggu lalu, Persatuan Bola Sepak Kelantan bersetuju dengan tawaran Vida Beauty menaja kelab The Red Warriors itu dengan RM20 juta bagi dua musim, tetapi perlu memenuhi beberapa syarat termasuk mengecat stadium dan memakai jersi berwarna merah jambu.
Sumber : Malay Mail