Saya tak janji pun beri KAFA RM8 juta, kata Dr Vida

Saya tak janji pun beri KAFA RM8 juta, kata Dr Vida

Datuk Seri Dr Hasmiza Othman mendakwa tidak pernah berjanji untuk menaja Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) RM8 juta untuk tempoh semusim, selepas timbul dakwaan beliau mungkir.

Pengasas syarikat produk kecantikan Vida Beauty Sdn Bhd itu berkata penajaan RM8 juta itu termasuk dengan 33 syarat yang akan didedahkan semasa memeterai perjanjian bersama KAFA pada Jumaat ini.

“Bukan janji. Silap kalau janji. Semuanya akan terjawab semasa 15 hari bulan nanti.

“[RM4 juta] itu yang kita beri terus pada KAFA. Sebab itu saya kenakan 33 syarat,” katanya yang mesra dipanggil Dr Vida ketika dihubungi ProjekMMO.

Saya tak janji pun beri KAFA RM8 juta, kata Dr Vida

Saya tak janji pun beri KAFA RM8 juta, kata Dr Vida

Tan Sri Annuar Musa dilaporkan berkata pada Isnin, KAFA hanya menerima tajaan RM4 juta semusim daripada Vida Beauty dan bukannya RM8 juta seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Presiden KAFA itu berkata baki RM4 juta lagi akan digunakan Vida Beauty untuk piala dan plak kejuaraan (RM2 juta), baik pulih stadium (RM1 juta) dan kafeteria serta barang dagangan sebanyak RM1 juta, lapor Bernama.

“Kalau dengan itu kita jadi tidak cukup jugalah, dan ada beberapa syarat lain yang kita terpaksa rundingkan seperti jumlah tiket dan hak dagangan yang terpaksa diserahkan,” kata beliau, merujuk kepada peruntukan RM4 juta itu.

Annuar ketika dihubungi enggan mengulas perkara itu kepada media kerana bimbang disalah tafsir.

“Saya dah tak nak bercakap hal ini nanti jadi keliru lagi-lagi cakap dalam telefon. Cakap berdepan pun salah tulis, jadi malas nak cakap dah. Lepas ini tanya dialah [Hasmiza].  

“Tak timbul penajaan tak cukup. Itu semua tak faham ayat itu,” kata Annuar kepada ProjekMMO.

Ahli Parlimen Ketereh itu dilaporkan berkata KAFA memerlukan kira-kira RM16 juta untuk kos pengurusan bagi musim ini jika Kelantan bercita-cita mendapatkan khidmat pemain import serta tempatan yang berkualiti.

“Kita perlu labur kira-kira RM1.2 juta untuk seorang pemain import yang berkualiti. Jika ada empat pemain import maknanya kos berkenaan boleh mencecah hampir RM5 juta.

“Gaji 25 pemain tempatan pula, jika seorang pemain terima gaji purata RM30,000 sebulan, maknanya kos berkenaan mencecah RM7.5 juta. Kos untuk gaji sahaja lebih RM12 juta.

“Itu tak termasuk kos pengurusan pasukan The President Warriors, pasukan belia, gaji pihak pengurusan, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan lain-lain lagi,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Sumber : Malay Mail

 

Post a Comment

Previous Post Next Post