KUALA SELANGOR – Sekurang-kurangnya RM2 menjadi had duit belanja yang diberikan ibu bapa kepada anak mereka sebagai amalan berjimat cermat.
Seorang peniaga, Khairul Annuar Jalaluddin, 39, yang menetap di Saujana Utama berkata, dia mengehadkan RM2 sahaja duit belanja bagi setiap empat anaknya.
“Saya memang bagi RM2 saja sebab duit tu untuk beli makanan dan air masak memang kena bawa dari rumah.
“Memang saya didik anak-anak supaya belajar berjimat cermat sejak dari pra-sekolah lagi dan anak-anak pun faham.
“Setakat ni, tak ada kenaikan harga makanan dan saya memang ajar anak supaya mereka pandai belanja duit itu,” katanya.
Seorang suri rumah, Maimunah Hamzah, 37, dari Kuala Selangor berkata, dia tidak memanjakan dua anaknya dan hanya memberi duit belanja sekolah tidak lebih daripada RM2.
“Memang akak dah bagi tahu awal-awal dekat anak supaya pandai jimat cermat. Kalau masa sekolah rendah tu boleh saja ikutkan permintaan anak nak duit belanja lebih tapi bila dan sekolah menengah ni kena tegaslah.
“Lagipun hanya suami saja yang bekerja jadi kena pandai jimat. Anak-anak pun dah kena ajar dari kecil jangan suka meminta benda bukan-bukan.
“Kadang-kadang tu anak memang minta nak bawa bekal sendiri, jadi duit belanja tu mereka boleh simpan untuk beli barang sendiri,” katanya.