Serangan udara diketuai Arab Saudi bunuh seorang hakim Yaman dan 7 ahli keluarganya

ORANG ramai memeriksa rumah hakim berkenaan yang musnah.

ORANG ramai memeriksa rumah hakim berkenaan yang musnah.

Serangan udara pakatan diketuai Arab Saudi membunuh seorang hakim Yaman dan tujuh ahli keluarganya di ibu negara Sanaa kelmarin, dalam pada konvoi bantuan menghantar makanan ke kawasan yang dikepung buat pertama kali dalam beberapa bulan.

Serangan bom itu memusnahkan sebahagian kediaman Yahya Rubaid, hakim yang dilantik Houthi untuk menjalankan kes pendakwaan terhadap kumpulan militan seperti al-Qaeda dan juga mengetuai kes khianat terhadap Presiden Yaman, Abed Rabbo Mansour Hadi serta musuh Houthi yang lain.

“Yehia, anak lelakinya, tiga wanita dan tiga kanak-kanak maut dalam kejadian yang memusnahkan rumah dua tingkat itu,” kata anak saudaranya

Abed Rabbo yang diusir dari Sanaa tahun lalu oleh pemberontak Houthi, kembali memimpin kerajaan dari pelabuhan di selatan Aden, yang berjaya ditawan semula pakatan tentera diketuai Arab Saudi pada Julai lalu.

Sementara itu, semalam, Perdana Menteri Khaled Bahah dan barisan Kabinetnya turut pulang ke Aden beberapa bulan selepas pemimpin itu disasarkan pengebom berani mati yang memaksanya melarikan diri dari negara itu.

Pada masa sama, Program Makanan Sedunia PBB berkata, ia berjaya menghantar 12 trak sarat dengan makanan ke beberapa daerah paling teruk terjejas di Tai kelmarin, seterusnya menyediakan bantuan makanan mencukupi bagi 3,000 keluarga untuk sebulan.

Penghantaran itu sekali gus mengurangkan beban penduduk bandar berkenaan, salah satu zon perang paling teruk di negara itu.

Sumber: Harian Metro

Post a Comment

Previous Post Next Post