Sheera Jalani Pembedahan Buang Ketumbuhan Dalam Rahim

PETALING JAYA: Pelakon Sheera Iskandar baru sahaja selesai menjalani pembedahan membuang ketumbuhan (cyst) dalam rahimnya  pada Selasa lalu di Hospital Pakar Damansara di sini.

Sheera atau nama sebenarnya Tengku Shaheera Ilani Tengku Iskandar, 30, berkata, pembedahan itu terpaksa dilakukan selepas doktor mengesahkan dirinya menghidap Endometriosis iaitu sejenis ketumbuhan dalam rahim.

“Doktor maklumkan ketumbuhan itu belum sampai ke tahap serius, tetapi jika tidak dibuang, ia boleh membesar dan membahayakan nyawa.

“Atas nasihat doktor, saya setuju dibedah dan tidak mahu berlengah lagi,” katanya yang dihubungi mStar Online pada Khamis.

Sheera kini masih lagi ditahan di wad memandangkan tahap kesihatannya masih belum stabil.

Tambah Sheera, ekoran ketumbuhan itu membuatkan dia sukar untuk hamil dan berharap peluang untuk mengandung lebih mudah selepas pembedahan tersebut.

Sementara itu, Sheera berkata, doktor turut menasihatkan dia untuk menjaga pemakanan agar penyakit tersebut tidak berulang.

"Zaman sekarang ini, kita sering makan makanan berbentuk segera. Ayam pun disuntik. Jadi pengambilan makanan kita tidak sihat.

"Saya harap selepas ini saya dapat mengamalkan pemakanan yang lebih sihat, InsyaAllah," tuturnya.

Dalam perkembangan lain, Sheera kini sibuk dengan promosi sebagai duta produk kecantikan Dara Anggun.

Post a Comment

Previous Post Next Post