“Siswa kelaparan di universiti, sudah tiba masa jangan harap kerajaan suap, cukup-cukuplah bebankan kerajaan” – Haris Zuan
Tiba-tiba kita dihadapkan dengan kisah kelaparan dan kemelaratan di negara ini.
Tambah mengganggu, rupa-rupanya, kelaparan dan kemelaratan bukanlah berlaku kerana musibah banjir kemarau atau wabak penyakit, melainkan kerana mereka memilih untuk belajar di universiti awam di Malaysia, negara yang sentiasa digambarkan sebagai bumi bertuah – hatta warga Bangladesh yang terjun dari tongkang, berenang di pantai negara ini pun, mampu hidup senang, sehingga dapat membuka kedai di tengah-tengah Kuala Lumpur.
(Jangan-jangan juga sebahagian kisah-kisah kemelaratan ini — sehingga “terkoyak usus” — sebagaimana kisah warga Bangladesh yang senang-lenang meskipun masuk secara haram di negara ini, sengaja dilebih-lebihkan atas niat yang Tuhan sahaja mengetahuinya.)
Akan demikian, harus juga kita insafi, kisah kemelaratan ini punya asas yang nyata – yang tidak boleh ditolak-tolak begitu sahaja.
Yuran pengajian sejak beberapa tahun lepas telah meningkat, tambah-tambah lagi di universiti ternama bertaraf Apex dan Penyelidikan.
Begitu juga dengan sewa kediaman yang bukan sahaja tidak pernah turun biar seposen, malah meningkat saban tahun.
Ketika seluruh negara sedang merasa beban kemerosotan ringgit, pengenalan cukai GST dan pengurangan subsisdi kerajaan, kita terlepas pandang betapa mahasiswa kita rupa-rupanya antara yang paling sengsara – tolak ketepi mereka yang sengsara kerana membeli iPhone 6 pada awal semester.
Inisiatif kerajaan
Maka ramailah yang memberikan cadangan (diselang-seli dengan cemuhan dan umpatan). Ada yang mahukan kerajaan meningkatkan jumlah pinjaman PTPTN yang kini tidak lagi sepadan dengan kos sara hidup, ada juga yang mahu pihak universiti lebih proaktif mengesan mahasiswa yang sedang kelaparan, malah mahu universiti memberikan bantuan modal serta ruang untuk mahasiswa berniaga bagi menambah pendapatan.
Hakikatnya, kerajaan telah banyak menyediakan inisiatif bagi membantu mahasiswa menangani kos sara hidup ini — kad siswa (dengan pelbagai diskaun khas untuk pengangkutan awam dan pelbagai barangan serta perkhidmatan lain), mewujudkan tabung zakat, tabung khairat, tabung kebajikan, sehinggalah kepada pengenalan Baucar Buku 1Malaysia (BB1M).
Demikian juga dengan pentadbiran universiti yang sentiasa cakna dengan kebajikan mahasiswa, yang mengadakan pelbagai program keusahawanan untuk mahasiswa, khasnya melalui Hal Ehwal Pelajar (HEP). Universiti bukan sahaja memberikan latihan dan pembangunan keusahawanan, malahan juga menyediakan ruang berniaga yang selesa kepada mahasiswa yang berminat.
Pada masa yang sama, tidak kurang juga mereka yang mahu mahasiswa lebih proaktif untuk menambah pendapatan. Ada yang mencadangkan mahasiswa agar bekerja sambilan di kedai makan, berniaga tudung dalam talian, menjual nota kuliah, sehinggalah kepada menyediakan khidmat fotokopi.
Tiada salahnya cadangan-cadangan ini, malah, mahasiswa sebenarnya telah lama mengamalkan semua “ikhtiar hidup” ini di kampus.
Bukan itu sahaja, ada juga mahasiswa yang memulakan inisiatif makanan percuma untuk rakan-rakan mereka di banyak universiti — tidak perlu disuruh-suruh.
Cadangan meningkatkan bantuan serta menambah pendapatan ini bukan perkara baru. Bahkan, timbalan menteri Ahmad Maslan sendiri telah mengulanginya banyak kali, #TambahPendapatan.
Namun, cadangan seumpama ini bukan sahaja gagal menangani masalah ini secara struktural, tetapi juga hanya meningkatkan kebergantungan mahasiswa kepada kerajaan.
Sudah tiba masanya, mahasiswa tidak lagi mengharapkan kerajaan (apatah lagi menyalahkannya) untuk menyediakan segala-galanya untuk mahasiswa.
Bagi 2016 sahaja, kerajaan telah meluluskan lebih RM13.37 bilion kepada Kementerian Pendidikan Tinggi. Jumlah itu bukan sedikit. Meski ada yang marah apabila kerajaan memotong peruntukan semua universiti awam (kecuali UKM) — sedar atau tidak, universiti awam kita bergantung hampir atau lebih 90 peratus kepada dana kerajaan.
Justeru, daripada hanya mengharap itu dan ini, adalah lebih baik untuk mahasiswa belajar menguruskan diri sendiri. Belajar untuk bertanggungjawab kepada diri dan rakan-rakan sekampus daripada hanya pandai menunding jari kepada pihak lain.
Jana pendapatan sendiri
Usul ini bukan tiada asasnya. Sebelum ini kesatuan mahasiswa menjadi badan berautonomi yang berperanan menjaga kebajikan sesama ahli mereka. Sebelum HEP diwujudkan pada 1970-an, kesatuan mahasiswa seperti UMSU mentadbir sendiri, dengan mahasiswa memilih jawatankuasa eksekutif.
Keahlian kesatuan pula automatik, setiap mahasiswa membayar yuran keahlian yang sederhana dan yuran langganan tahunan. Pendapatan ini menyediakan UMSU dengan bajet yang besar, ditambah kontrak-kontrak kantin, bas dan perkhidmatan lain untuk mahasiswa. Ya, sebelum ini, kesatuan mahasiswa sendiri yang menguruskan kantin dan perkhidmatan bas — dua masalah yang sehingga kini dirungutkan oleh mahasiswa.
Menjelang 1970, pendapatan dan rizab tahunan kesatuan itu mencecah sekitar $200,000 (ingat, ini nilai tahun 1970!), kebanyakannya daripada bayaran keahlian ($10 bagi setiap mahasiswa) dan langganan tahunan ($8), selain geran yang diberikan oleh universiti dan pendapatan daripada pelaburan serta sewa.
Pada awal 1970-an, UMSU yang menggaji sendiri kakitangan dikatakan “kesatuan mahasiswa yang paling kaya di Asia Tenggara.”
Universiti menyediakan sebuah bangunan kesatuan yang terletak di tengah kampus, yang kemudiannya menjadi tumpuan kehidupan mahasiswa.
Kesatuan pula memberikan perkhidmatan, seperti membantu mahasiswa mencari rumah dan menguruskan pinjaman kecemasan (tidak perlu tunggu hingga tahap lapar “terkoyak usus”!); memudahkan komunikasi rasmi dan tidak rasmi antara mahasiswa UM dan pentadbiran, pegawai kerajaan dan rakan mahasiswa di tempat lain.
Belajar hadapi realiti
Apa hubungan cadangan mengembalikan fungsi kesatuan mahasiswa ini dengan mengatasi masalah kelaparan dan kemelaratan mereka di kampus?
Pertama sekali, kesatuan mahasiswa yang berfungsi dapat memberikan pendedahan kepada mahasiswa bagaimana mengurus dan mengagihkan sumber.
Latihan ini sangat penting agar mereka dapat belajar untuk menghadapi realiti dunia yang sebenar; agar mereka tidak sekadar mengutuk kerajaan membabi buta dan menyokong pembangkang tanpa usul periksa — begitu juga sebaliknya.
Mereka tidak lagi boleh sewenang-wenangnya menuding jari menyalahkan pihak lain apabila berlaku kes seumpama ini dalam kalangan rakan mereka sendiri.
Hal ini pastinya meningkatkan harapan terhadap keberkesanan, kecekapan dan ketelusan agihan dana yang mereka perolehi.
Pada masa yang sama, cita-cita suci mahu melahirkan usahawan dan pemimpin yang berjaya dan berkaliber mungkin lebih mudah apabila mahasiswa diamanahkan kembali untuk menguruskan dan menganugerahkan tender kepada pengendali kantin, bas dan perkhidmatan lain yang berkaitan.
Pendekatan ini pastinya membuatkan mereka yang berada dalam kepemimpinan mahasiswa berdepan dengan cabaran mengekalkan tahap ketelusan dan kebertanggungjawaban terhadap ahli kesatuan.
Demikian juga dengan rakan-rakan mahasiswa lain yang akan lebih prihatin dan maklum mengenai pengurusan organisasi.
Tetapi tidaklah bermakna kerajaan atau pengurusan universiti bleh lepas tangan dalam soal kebajikan mahasiswa. Sudah tentu mereka sebagai badan yang lebih pakar harus bertindak sebagai pemantau dan, jika perlu, memberikan khidmat nasihat.
Cukup-cukuplah bebankan kerajaan, mahasiswa harus kembali menguruskan diri sendiri. Jika ada yang mengatakan pendekatan ini tidak realistik, ingatkan mereka, siswa pernah melakukannya dahulu (dan berjaya!).
* Tulisan ini pendapat peribadi penulis atau organisasinya dan tidak semestinya menggambarkan pandangan Malay Mail Online/ terbakor.com
Sumber : Malay Mail