The Red Warrior bakal berubah wajah, lagu Negaraku dan azan bakal berkumandang secara langsung di Stadium Kelantan
Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) akan melakukan kelainan sebelum sepak mula setiap perlawanan Liga Malaysia (Liga M) di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Baru, dengan dendangan Lagu Negaraku akan dinyanyikan secara langsung oleh tetamu jemputan.
Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa berkata amalan menyanyikan lagu kebangsaan secara langsung di stadium telah dilakukan oleh kelab terkemuka di England dan Eropah dan ia kini antara pendekatan baharu pihaknya.
“Penganjuran perlawanan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Baru, bakal sedikit berubah wajah dari aspek kelolaan. Penjualan tiket secara dalam talian dan bermusim.
“Penglibatan lebih banyak atlet, budayawan, tokoh serta ruang untuk jemputan khas seperti anak yatim, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan individu berjaya. Azan juga akan berkumandang secara live dari stadium,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook pada Selasa.
Beliau berkata, elemen kekeluargaan juga akan diperkenalkan untuk menyemarakkan semangat penyokong The Red Warriors (TRW).
“Kita cuba terapkan konsep muhibah, kekeluargaan dan keprihatinan. Elemen ini akan diperkenalkan untuk memberi nilai tambah kepada pengunjung,” katanya.
Susulan itu, katanya, Kafa akan mengadakan rundingan dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Ketua Pegawai Eksekutif Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP), Kevin Ramalingam untuk membincangkan perkara ini.
Terdahulu, pengasas produk kecantikan Qu Puteh, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida mahu menyuntik elemen kekeluargaan di stadium ‘merah jambu’ sepanjang saingan Liga M musim ini.
Pada Jumaat lalu, Kafa dan Vida mencapai kata sepakat mengenai perjanjian tajaan TRW selama dua musim.
Difahamkan syarikat kosmetik Vida Beauty akan memperuntukkan tajaan sebanyak RM8 juta semusim kepada Kafa.
Sumber : Mstar