Fakta salah dalam filem Ola Bola kelirukan belia, kata bekas pemain negara

Hassan Sani dan James Wong, antara wira bola sepak negara ketika pasukan Malaysia layak ke Sukan Olimpik Moscow pada 1980, berpendapat filem Ola Bola membawa mesej bahawa gandingan rakyat berbilang kaum boleh membawa kejayaan besar kepada Malaysia.

Hassan, berkata Ola Bola sememangnya melambangkan pasukan Kebangsaan Malaysia ketika itu yang diwakili semua kaum seperti Melayu, Cina dan India serta kaum dari Sabah.

Fakta salah dalam filem Ola Bola kelirukan belia, kata bekas pemain negara

Fakta salah dalam filem Ola Bola kelirukan belia, kata bekas pemain negara

“Ceritanya (filem Ola Bola) memang bagus. Pemain bola sepak kita masa itu tidak mengira bangsa… ada Melayu, Cina dan India. Ceritanya pun hampir-hampir sama dengan apa yang kami lalui dahulu seperti kaedah kami menjalani latihan serta menaiki helikopter untuk ke Stadium Merdeka,” katanya kepada Bernama.

Filem Ola Bola sedang ditayangkan di pawagam di seluruh negara.

Menurut Hassan, semangat kekitaan dan berpasukan ketika itu perlu dikembalikan.

Tetapi katanya, skuad negara sekarang tidak mempunyai ramai pemain pelbagai kaum.

Beliau juga tidak faham mengapa kaum tertentu begitu kurang menceburi sukan bola sepak berbanding dahulu.

Bagaimanapun, Hassan berkata meskipun filem Ola Bola mirip kejayaan Malaysia ke Sukan Olimpik pada tahun 1980 namun beliau mendapati beberapa fakta berkenaan kejayaan pasukan bola sepak kebangsaan pada ketika itu telah diubah.

Sebagai contoh, katanya jaringan gol ketika Malaysia menumpaskan Korea Selatan dalam peringkat kelayakan ke Sukan Olimpik Moscow pada tahun 1980 ialah dua gol berbalas satu tetapi dalam filem tersebut keputusannya ialah 3-2.

Selain itu pemain yang menjaringkan gol kemenangan pada perlawanan berkenaan ialah ialah pemain kebangsaan yang memakai jersi nombor 9 dan bukannya pemain jersi nombor 10, katanya.

Gol kemenangan pada perlawanan pada 1980 dihasilkan melalui rembatan James Wong setelah menerima hantaran lintang daripada Hassan di kotak penalti Korea Selatan.

James pula berkata kejayaan pasukan kebangsaan ketika itu ialah kerana semangat sepasukan yang tinggi dalam kalangan pemain pelbagai kaum ibarat sebuah keluarga yang mahu mencapai impian negara.

“Musim dahulu, tidak ada pemain profesional seperti sekarang. Dahulu kita bermain untuk negara. Jadi ‘mindset’ (fikiran) kita ketika itu ialah untuk berjaya. Bagi saya, dalam apa bidang sekalipun, termasuk bidang sukan, kalau kita ada mindset yang betul, kita tentu boleh berjaya,” katanya.

Mengenai fakta yang tidak tepat dalam filem itu, beliau berkata apabila ia menggambarkan sejarah kejayaan pasukan bola kebangsaan ke Moscow pada tahun 1980, fakta mengenai kejayaan pasukan kebangsaan ketika itu mesti dikekalkan dan tidak boleh diubah kerana ia boleh mengelirukan generasi muda.

Sementara itu, seorang penonton filem Ola Bola, Dave Chen, 44, berkata pasukan bola dalam filem berkenaan melambangkan semangat berpasukan tinggi serta erat yang tidak melibatkan sebarang isu berkaitan kaum.

“Filem ini mengingatkan Malaysia bahawa integrasi kaum adalah kunci kepada kemakmuran,” katanya.

Pelajar, Nadia Shakira, 22, berkata, filem berkenaan menggambarkan keakraban dalam kalangan pemain pelbagai kaum ketika menjalani latihan dan juga ketika perlawanan.

Tradisi kaum Melayu, Cina dan India seperti rumah dan makanan juga ditonjolkan dalam filem ini,” katanya.

Donald Kadau, 34, seorang eksekutif teknologi komunikasi pula berkata filem berkenaan menarik kerana melambangkan keakraban pelbagai kaum pada tahun 1970-an dan 1980-an yang kian kurang disaksikan pada hari ini.

“Semangat kekitaan anggota sepasukan, termasuk pemain yang berasal dari Sabah, dapat disaksikan ketika pemain berkunjung ke ‘fun fair’,” katanya. — Bernama

Sumber : The Malay Mail

Post a Comment

Previous Post Next Post