Harimau Malaysia Nama Baharu Skuad Kebangsaan

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan untuk menukar nama gelaran skuad kebangsaan Harimau Malaya kepada Harimau Malaysia.
Pengumuman itu dibuat oleh Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pada Majlis Pengenalan Penaja Pasukan Bola Sepak Kebangsaan 2016, hari ini.
Menurut Tengku Abdullah, keputusan untuk menggunakan nama Harimau Malaysia sebagai tanda permulaan era baru bola sepak kebangsaan.
"Bagi melancarkan era baharu bola sepak Malaysia mulai tahun 2016 ini, FAM berasakan nama gelaran Harimau Malaya yang sering kali diguna pakai sebelum ini sudah tidak lagi sesuai.
“Ini memandangkan perkataan Malaya itu sendiri tidak lagi diguna pakai secara menyeluruh di negara ini sejak pembentukan Malaysia pada tahun 1963, iaitu kira-kira 53 tahun yang lalu.
“Justeru itu, FAM pada hari ini dengan secara rasmi mengumumkan untuk mengguna pakai nama Harimau Malaysia sebagai nama gelaran baharu untuk skuad kebangsaan.
“Gelaran ini juga bertepatan untuk menggambarkan skuad kebangsaan kita adalah milik seluruh rakyat Malaysia termasuk juga mereka di Sabah dan Sarawak yang mungkin selama ini terasa sedikit tersisih dengan penggunaan gelaran Harimau Malaya,” katanya.
Pada majlis yang berlangsung itu, FAM turut mengumumkan empat penaja rasmi yang bersama skuad kebangsaan untuk tahun 2016 iaitu Telekom Malaysia (TM), Bank Islam, Nike dan 100PLUS.

Post a Comment

Previous Post Next Post