'Ijazah Saya Bukan Untuk Cuci Tandas'

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini telah mencabar golongan belia di Malaysia yang tergolong dalam 161,000 golongan penganggur berusia 20 tahun hingga 24 tahun untuk bekerja di sektor 3D, iaitu 'dirty', 'dangerous', dan 'difficult'.
 
Permintaan pekerjaan dalam sektor ini menjadi masalah bagi majikan kerana kekurangan minat dari golongan belia sendiri untuk ceburi.
 
Kenyataan beliau dibuat bagi menjawab persoalan dan bantahan mengenai kemasukan 1.5 juta pekerja Bangladesh yang akan dibawa masuk secara berperingkat dalam tempoh masa 3 hingga 5 tahun dibawah seliaan G2G Plus System yang melibatkan kerjasama kerajaan Malaysia dan Bangladesh. Malah, statistik kini merekodkan terdapat 600,000 warganegara Bangladesh yang berdaftar berkerja di Malaysia. 
 
Menurut kenyataan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot pula, 1.5 juta pekerja Bangladesh bukan hanya untuk Malaysia tetapi untuk 139 negara di serata dunia.
 
Namun, kenyataan Datuk Seri Zahid turut menerima reaksi negatif masyarakat apabila golongan belia dikatakan sebagai punca utama negara membawa masuk pekerja asing bagi memenuhi permintaan sektor 3D ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid HamidiTimbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
"Saya tidak mendapat ijazah untuk membersihkan tandas!," kata seorang remaja kepada sebuah portal berita tempatan.
 
"Jika saya mahu bekerja dalam sektor 3D itu, saya akan melakukannya sejurus selepas sekolah menengah. Saya tidak akan belajar tinggi-tinggi selama empat tahun dan tinggal jauh dari keluarga saya untuk membersihkan tandas," ujar seorang lagi belia mengenai perkara yang sama.
 
Kekecewaan yang dihadapi oleh belia-belia ini dapat difahami kerana ramai yang bercita-cita untuk mendapatkan kehidupan yang selesa dan mempunyai pekerjaan yang bergaya 'profesional' untuk menjamin masa hadapan. 
 
Walaubagaimanapun, apa yang jelas kelihatan di sini adalah sikap mementingkan diri sendiri belia yang tidak bersyukur, manja, perungut dan tidak mempunyai sedikit idea bagaimana golongan-golongan terdahulu melalui kehidupan yang sukar.
 
Selain itu, isu ini telah mendedahkan bahawa industri tempatan sering mengambil jalan mudah dengan mengeksploitasi buruh asing berbanding meningkatkan taraf dan upah pekerjaan 3D di Malaysia bagi menarik minat warga tempatan seperti yang telah diumumkan oleh MTUC kepada sebuah portal berita bahawa 300,000 rakyat Malaysia orang sanggup bekerja sebagai buruh di Singapura kerana kadar bayaran yang lebih tinggi!
 
Topik ini telah dibincangkan acap kali dari aspek mengkritik belia sehinggalah mengkritik kegagalan kerajaan.
 
Kini, Malaysian Digest telah berpeluang mendapatkan pendapat golongan belia dari serata dunia mengenai isu kemasukan pekerja asing yang berlaku di negara mereka.
 
FILIPINA
 
"Kebanyakkan pekerja asing yang berada di sini adalah mereka yang terlibat dengan sektor perniagaan dan dunia korporat jadi mereka telah menggaji rakyat tempatan sebagai pekerja. Manakala penduduk dari luar bandar pula bekerja di sektor gaji minimum," ujar R. Young seorang belia dari Filipina.
 
Namun begitu, penghijrahan besar-besaran dari luar bandar telah menyebabkan krisis miskin bandar dan menyebabkan penempatan setinggan meningkat di bandar-bandar utama di Filipina. 
 
"Ramai dari mereka tidak mempunyai pendidikan yang tinggi dan wang untuk pulang kembali ke kampung, justeru mereka terpaksa menjadi gelandangan di kawasan-kawasan Bandar," ujar pemuda 25 tahun tersebut.
Filipina mengeksport tenaga buruh kepada banyak negara termasuk Malaysia / Getty ImagesFilipina mengeksport tenaga buruh kepada banyak negara termasuk Malaysia / Getty Images
AFRIKA SELATAN
 
Mengalami krisis yang sama, Afrika Selatan turut mengalami masalah dalam angka pekerja mahir serta halangan dalam membuka peluang pekerjaan kepada rakyatnya.
 
Z. Matthews, seorang graduan dari Cape Town berkata: "Ramai golongan muda tempatan tidak mempunyai peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, jadi mereka terpaksa menjadi buruh kasar."
 
Sebagai salah satu negara yang membangun dengan pesat di benua Afrika, peratusan pengangguran di negara tersebut masih pada tahap yang tinggi berbanding peratusan purata global.
 
"Peratusan pengangguran di sini adalah lebih kurang 25% tetapi peluang pekerjaan adalah sangat terhad", tambah belia itu lagi.
 
MESIR
 
Di Mesir, pekerjaan sektor 3D turut dilihat sebagai pekerjaan kelas bawahan oleh kebanyakkan masyarakat dan dipandang serong, menurut pendapat responden kami dari Mesir.
 
"Pekerjaan 3D di sini tidak mempunyai masalah untuk dipenuhi kerana angka pengangguran yang tinggi di Mesir dan kadang-kala mereka mempunyai kelayakan yang lebih tinggi berbanding keperluan pekerjaan mereka. Mesir mementingkan nepotisme, jika anda tak mempunyai kenalan yang banyak, anda tidak akan mendapat pekerjaan yang baik walaupun anda mempunyai PhD dari Harvard," katanya lagi.
 
Ketidakstabilan politik dan rasuah telah disenaraikan sebagai antara faktor utama yang mempengaruhi masalah Mesir dengan kadar pengangguran mereka.
 
"Dalam fikiran anda sudah tentu terdapat persepsi bahawa Mesir mempunyai jurang sosial dan jurang kelas yang besar. Ia adalah perkara biasa untuk melihat seorang pemandu teksi, pelayan dan buruh yang mempunyai kelulusan dalam jurusan undang-undang, sains politik, perniagaan, dan lain-lain, tetapi mereka masih tidak berpeluang mencari pekerjaan,” kata pemuda berusia 25 tahun itu.
 
ITALI
 
Itali adalah salah satu daripada negara-negara Kesatuan Eropah (EU) yang menanggung beban krisis penghijrahan yang disebabkan oleh pelarian dari Syria yang dalam keadaan darurat akibat peperangan di Timur Tengah dan kehadiran mereka ke negara tersebut turut mengancam peluang pekerjaan bagi penduduk tempatan.
Pekerja migran ni Siracusa, Sicily, selatan Itali / APPekerja migran ni Siracusa, Sicily, selatan Itali / AP
"Ramai rakyat tempatan tidak gembira dengan pendatang Syria dan ramai dari rakyat tempatan hilang peluang pekerjaan dan pendapatan. Malah, kerajaan berbelah bagi untuk memenuhi tanggungjawabnya kepada rakyat Itali dan pendatang yang hadir," ujar warga Itali Greta C.  
"Oleh kerana terdapat ramai pekerja yang berpengalaman menganggur, ia telah menjadi mustahil bagi pekerja muda terutamanya untuk memasuki pasaran kerja dan kerana ini Itali mempunyai antara kadar pengangguran tertinggi di Eropah," tambah pemuda berusia 26 tahun itu.
 
"Ramai juga rakyat tempatan yang menjadi buruh kasar kerana krisis sekarang tetapi ramai yang terpaksa menolak peluang tersebut kerana upah yang diberikan terlalu sikit bagi menampung kos hidup pada waktu ini," ujar Greta. 
 
"Sebagai contoh, ada tempat di sekitar sini di mana mereka mengambil pekerja dari Bangladesh yang kebanyakannya menyertai industri perkapalan. Mereka memaksa pekerja ini bekerja banyak jam dengan gaji yang sangat rendah yang tidak akan dapat menarik minat mana warga Itali." 
 
"Hari ini, penguli doh pizza bukan lagi orang Itali," tambah beliau lagi dan kes seperti ini dapat dilihat di Malaysia apabila makanan tempatan kita tidak lagi dimasak oleh warga tempatan. 
 
KANADA
 
Sebahagian besar pekerja asing di Kanada datang dari negara-negara Amerika Selatan dan Kepulauan Caribbean untuk bekerja di ladang-ladang.
 
"Pekerja Kanada telah menuntut hak-hak yang banyak dan tidak membenarkan diri mereka diambil kesempatan sewenang-wenangnya," jelas Joe M. dari Vancouver.
 
"Oleh itu, syarikat-syarikat disini memilih untuk mengambil pekerja asing walaupun angka penduduk tempatan di sini yang masih ramai tidak bekerja.
 
"Banyak kes di mana pekerja-pekerja asing dilayan dengan buruk dan dibayar kurang daripada apa yang dijanjikan kepada mereka. Mereka tahu bahawa pekerja-pekerja asing mudah untuk dimanipulasi, tidak perlu telus bayar gaji mereka atau menaati undang-undang buruh yang ketat dan syarikat-syarikat ini memilih warga asing kerana mereka boleh memecat mereka sesuka hati dengan mudah jika tidak memenuhi taraf syarikat yang telah ditetapkan," tambah Joe lagi.
 
JEPUN
 
"Tahukah anda bahawa pemungut sampah di Jepun dianggap sebagai tugas rasmi negara dan anda perlu mengambil peperiksaan kebangsaan yang sama seperti pegawai polis dan anggota bomba?," sindir Aimi K, gadis Jepun berusia 27 tahun.
Pekerja pelupusan sampah di Toyohashi, Jepun / The Japan TimesPekerja pelupusan sampah di Toyohashi, Jepun / The Japan Times
Oleh kerana kerajaan Jepun mementingkan ketelitian ketika mencari pekerja dalam sektor-sektor ini, ramai warga tempatan dapat memenuhi keperluan pekerjaan ini berbanding mengupah pekerja asing. 
 
"Ramai warga tua di Jepun yang telah bersara tapi mahu mencari wang lebih dengan menjadi buruh kasar seperti pekerja pembersihan dan pengawal keselamatan di tapak-tapak pembinaan," tambah Aimi lagi.
 
ADAKAH MALAYSIA TERLALU UNIK?
 
Berdasarkan kajian pendapat secara rawak yang telah dijalankan oleh Malaysian Digest, Malaysia dikira sebagai unik kerana masalah yang berlaku ini sering berlaku kepada negara-negara maju yang memerlukan tenaga buruh asing untuk mengambil pekerjaan yang tidak dimahukan oleh rakyat tempatan sendiri. 
 
Percaya atau tidak, ada hikmah yang berlaku di sebalik krisis ini.
 
Mengapa pekerja dari negara-negara seperti Indonesia, Filipina, Myanmar, Nepal dan Bangladesh masih berduyun-duyun ke Malaysia untuk mencari rezeki? Sudah pasti kita telah melakukan sesuatu yang betul untuk mereka melihat Malaysia sebagai hab ekonomi dan sebuah negara yang menawarkan pasaran kerja yang ideal kepada mereka.
 
Sebahagian dari kita masih tidak dapat melihat gambaran yang lebih besar kerana keputusan kerajaan untuk membawa masuk pekerja asing adalah kerana permintaan industri sendiri.
 
Pada saat ini, terdapat sekitar 305,000 kekosongan jawatan dalam industri pekerjaan yang sukar untuk dipenuhi walaupun terdapat 478,000 penganggur di Malaysia, menurut sebuah statistik  yang dilaporkan oleh Bank Negara. Jadi, apakah hala tuju kita selepas ini?
 
Malaysia dapat belajar dari negara-negara maju di seluruh dunia dalam mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing bagi sektor pekerjaan intensif iaitu dengan memperkenalkan proses automasi, penggunaan jentera, menawarkan gaji yang lebih baik dan menaiktaraf keadaan kerja. 
 
Salah satu daripada pengguna terbesar pekerja asing adalah sektor pembinaan yang kini perlahan-lahan beralih menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang melibatkan kaedah pembinaan pasang siap untuk membina sesebuah bangunan.
 
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof telah mengumumkan pada Oktober tahun lalu itu, berkuat kuasa pada 2016, projek pembinaan swasta berharga lebih daripada RM50 juta, serta projek-projek kerajaan melebihi RM10 juta, akan turut menggunakan sistem IBS dalam projek-projek pembinaan.
 
Penggabungan usaha kerajaan untuk meningkatkan levi pekerja asing juga dapat dilihat sebagai satu usaha selain berusaha membangunkan industri ke arah automasi bagi mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh asing.  
 
Gerakan yang sama turut dapat dilihat dalam sektor perladangan, pembuatan dan perkhidmatan pencucian di mana proses mekanisasi dan penaiktarafan ppersekitaran pekerjaan juga giat dilakukan.
Seperti yang telah dikongsikan oleh responden kami dari Jepun, persijilan profesional dan faedah pekerjaan yang menarik dapat memastikan kelangsungan minat golongan tempatan terhadap pekerjaan-pekerjaan buruh kasar dan pendapatan minimum. 

Post a Comment

Previous Post Next Post