Kehadiran kapal pengawal pantai China di luar perairan Sarawak berada dalam kawalan – Hishammuddin

Kehadiran kapal pengawal pantai China di luar kawasan perairan Gugusan Beting Patinggi Ali, kira-kira 84 batu nautika dari pantai Miri, berada dalam kawalan.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein yakin komunikasi terus antara pihak Kedutaan China di Malaysia dengan kepimpinan negeri Sarawak akan dapat membantu dalam mengukuhkan keyakinan rakyat Sarawak yang bimbang dengan kehadiran kapal itu.

Kehadiran kapal pengawal pantai China di luar perairan Sarawak berada dalam kawalan - Hishammuddin

Kehadiran kapal pengawal pantai China di luar perairan Sarawak berada dalam kawalan – Hishammuddin

Dalam pertemuannya dengan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem dua hari lepas, Hishammuddin berkata beliau telah memaklumkan akan cuba mendapatkan Duta Besar China di Malaysia Dr Huang Huikang untuk mengunjungi Ketua Menteri tidak lama lagi.

Katanya beliau telah mengarahkan Panglima Tentera Laut Laksamana Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin untuk menghubungi kedutaan China bagi mengatur perjumpaan itu.

“Malah esok di Sembrong (Johor) saya akan bersama dengan Duta Dr Huang untuk meraikan Tahun Baharu Cina, jadi saya boleh sampaikan pesanan nanti…, jadi jangan bimbang, keadaan berada dalam kawalan,” katanya dalam sidang media selepas melawat Makam Pahlawan di sini, hari ini.

Hishammuddin yang juga anggota Parlimen Sembrong berkata demikian semasa ditanya mengenai kehadiran kapal pengawal pantai China di kawasan berkenaan yang dikesan sejak dua tahun lepas, yang mengakibatkan nelayan laut dalam tempatan takut mendekatinya.

Jun lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim dilaporkan berkata Malaysia akan meneruskan mengemukakan bantahan diplomatik terhadap pencerobohan kapal pengawal pantai China itu.

Sementara itu, Hishammuddin berkata Malaysia bernasib baik kerana negara bukan sahaja memiliki hubungan diplomatik yang baik dengan kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan China, tapi juga dari segi hubungan ‘diplomasi ketenteraan’.

Beliau berkata menerusi kelebihan ini, ia diharap akan dapat membantu dalam mencari penyelesaian yang baik ketika berhadapan apa jua persoalan yang timbul, kerana menurutnya isu berkaitan geopolitik Laut China Selatan cukup kompleks dan tidak mudah untuk ditangani, apa lagi apabila ia berkaitan dengan kuasa besar.

Hishammuddin kemudiannya beredar ke Hospital Umum Sarawak untuk menziarahi Kolonel (Bersara) Dunstan Nyaring anak Angking, 72, yang merupakan anak pribumi Sarawak yang pertama berpangkat Kolonel sekitar 1980-an, yang sedang menerima rawatan akibat jangkitan kuman di kakinya.

 

Beliau kemudiannya dijadualkan melawat rumah di bawah skim 1Malaysia Veteran Home Repair (1MVRP) di Kampung Sikog, Padawam, kira-kira 20km dari sini dan bertemu dengan veteran tentera, sebelum menamatkan lawatan kerja tiga hari beliau ke Sarawak.

Sumber : Awani

Post a Comment

Previous Post Next Post