Kereta Terbabas Akibat Lari Dari Peronda Kampung

SABAK BERNAM: Sepasang kekasih melalui detik cemas apabila kereta yang dinaiki mereka terbabas ke dalam parit di Kampung Parit 1 Banat, Sungai Besar, di sini, selepas cuba melarikan diri daripada ditahan sepasukan anggota sukarelawan yang membuat rondaan, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, lelaki kelahiran Indonesia yang menetap di negara ini sejak lebih 20 tahun lalu dipercayai membawa kekasih hatinya seorang janda di kawasan sawah padi Parit 2 disyaki untuk memadu asmara di kawasan sunyi terbabit.
Sumber berkata, keasyikan lelaki itu berdua-duaan dengan teman wanitanya warga tempatan itu terbantut selepas menyedari kehadiran beberapa pasukan sukarelawan menaiki motosikal menghampiri kenderaan berkenaan.
"Pasukan rondaan kampung mendapati terdapat sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan di parkir di kawasan gelap dan sunyi. Difahamkan mereka tunggu lebih 10 minit, namun kenderaan itu masih tak bergerak," katanya.
Bagaimanapun, sumber berkata, sebaik menyedari kehadiran pasukan peronda di kawasan itu, pemandu kereta itu terus menghidupkan enjin dan memecut kenderaan terbabit.
"Saya difahamkan seorang pasukan sukarelawan yang menunggang motosikal nyaris dirempuh pemandu kereta setelah pasukan peronda cuba menahan pasangan itu di kawasan gelap.
"Pasukan peronda dipercayai cuba menghimpit kereta yang dinaiki pasangan itu, namun setelah sampai di selekoh (Parit 1 Banat), kereta itu hilang kawalan lalu masuk ke dalam parit berhampiran," katanya.
Sumber memberitahu, pasukan peronda kemudiannya terus menghubungi Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Sabak Bernam bagi memaklumkan kejadian terbabit.
Sementara itu, JPAM Sabak Bernam memaklumkan pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian kereta terbabas ke dalam parit itu kira-kira jam 1.15 pagi dan tiba di lokasi kejadian lima minit selepas aduan dibuat.
"Seramai empat anggota ditugaskan ke tempat kejadian. Semua mangsa dapat diselamatkan dalam kejadian terbabit," katanya.
Seorang penduduk, Mohd Harez Baharudin, 27, berkata, dia hanya menyedari kejadian itu selepas terdengar bunyi bising di luar rumahnya kira-kira jam 7 pagi.
"Saya keluar rumah tengok dah ramai orang berkumpul dekat parit. Kebetulan saya pun nak keluar sebab hantar adik ke sekolah," katanya.
Sinar Harian difahamkan lelaki itu mempunyai dua isteri yang tinggal berasingan yang mana isteri pertamanya menderita penyakit strok.
Salah seorang isteri lelaki itu berkata, dia terkejut apabila suaminya itu menghubunginya kira-kira jam 2 pagi semalam, memaklumkan terlibat dalam kemalangan dan berada di Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam.
"Saya terus ke hospital dan bawanya pulang ke rumah isteri pertama. Selepas hantar dia pulang, saya balik semula ke rumah.
"Saya tak tahu dia bawa siapa ke sana. Bila ditanya dia tak nak jawab. Rasa malu pun ada, tapi apa boleh buat, benda dah jadi," katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post