Muhyiddin Tidak Berprinsip Jika Termakan 'Godaan' Kit Siang


KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Perdana Menteri (TPM) Tan Sri Muhyiddin Yassin akan dilabel sebagai sebagai seorang yang tidak berprinsip, selain hilang kredibilitinya sebagai ahli UMNO yang berpengaruh sekiranya ‘termakan’ umpan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang mahu bekerjasama dengannya menerusi program ‘Selamatkan Malaysia’.

Menurut penulis blog terkenal, Datuk Ahirudin Attan atau lebih dikenali sebagai Rocky Bru, jika kerjasama antara ahli Parlimen Pagoh itu benar-benar terjalin dengan pihak pembangkang, ia adalah suatu yang diluar jangkaan memandangkan Muhyiddin sebelum ini dilihat sering bertikam lidah dengan Kit Siang.

“Muhyiddin dah berkali-kali bertikam lidah… kutuk-mengutuk dengan Kit Siang, kalau tiba-tiba Tan Sri Muhyiddin bersetuju untuk bekerjasama dengannya, nampaknya ia lebih pelik daripada pelik.

“Beliau akan dianggap tiada prinsip. Namun, jika betul Muhyiddin mahu berbaik dengan Kit Siang, cara paling gentleman adalah dengan keluar daripada UMNO dan itu akan memberi lebih impak,” katanya kepada Malaysian Digest, hari ini.

Bagaimanapun, pemilik portal berita The Mole itu berpendapat bahawa Muhyiddin tidak akan termakan dengan permainan murahan pihak pembangkang.

“Kit Siang hanya ‘memancing’ Muhyiddin, sekiranya beliau termakan umpan tersebut, maka DAP akan peroleh keuntungan besar, kalau sebaliknya, Kit Siang tidak rugi apa-apa. Ia hanya umpan kosong…

“(Dan) Saya rasa Muhyiddin tidak akan (bekerjasama dengan DAP) kerana beliau cukup otai untuk Kit Siang main game ini. Namun, sekiranya Muhyiddin termakan umpan Kit Siang, soal dipecat tidak timbul kerana Muhyiddin akan hilang kredibilitinya dengan sendiri,” ujarnya.

Muhyiddin sebelum ini pernah melahirkan perasaan bimbang berikutan masalah besar yang dihadapi negara termasuk beberapa krisis yang dikaitkan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Berikutan itu, terbaharu Kit Siang menyatakan bahawa Pakatan Harapan Johor bersedia untuk bekerjasama dengan Muhyiddin sebagai salah satu cara untuk menyelamatkan negara daripada menjadi sebuah negara yang gagal.

Post a Comment

Previous Post Next Post