Pemuda Amanah Nasional hari ini menyambut baik saranan penangguhan mesyuarat ketika masuk waktu solat.
Naib Ketua Pemuda Amanah Nasional, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata, ia adalah arahan yang wajar kerana tuntutan sebagai seorang Muslim adalah selari dengan syariat yang telah ditetapkan dan tidak seharusnya dilengah-lengahkan.
“Sudah menjadi lumrah manusia apabila terlalu fokus dengan kerja maka ada perkara lain yang dilupai antaranya menunaikan solat.
“Kami berpendapat, dengan mematuhi syariat, kakitangan pendidikan akan menjadi lebih tenang dan bersemangat dalam bekerja,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, pihaknya turut merakamkan penghargaan kepada Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Operasi Pendidikan), Datuk Ahmad Tajudin Jab yang mencadangkan perkara tersebut baru-baru ini.
“Saranan Ahmad Tajudin kepada kakitangan pendidikan akan menjadi contoh kepada anak-anak murid seluruh sekolah dan seterusnya akan dipraktikkan secara terus di rumah atau di mana sahaja mereka berada.
“Kami juga menyarankan agar pekeliling khusus ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dan seterusnya akan menjadi motivasi yang baik kepada seluruh kakitangan kerajaan mahupun swasta yang lain,” katanya lagi.
Sumber : Sinar