WASHINGTON: Dua calon Presiden Amerika Syarikat (AS) daripada Parti Republikan, Donald Trump dan Jeb Bush bertengkar kelmarin berhubung isu perang Iraq dan peranan AS untuk menangani penglibatan Rusia dalam perang saudara di Syria.
Trump yang bakal mendahului pencalonan Parti Republikan menjelang Pilihan Raya Presiden AS pada November depan sekiranya menang dalam pemilihan parti di Carolina Selatan pada 20 Februari ini mengecam abang Bush, bekas Presiden George W. Bush kerana menyerang Iraq pada 2003 untuk menghapuskan senjata pemusnah besar-besaran yang tidak pernah ditemui.
Perang mulut antara dua ahli politik itu berlaku dalam debat selama dua jam yang disiarkan oleh stesen televisyen AS, CBS.
Perdebatan hangat tersebut turut membayangkan betapa pentingnya untuk Trump dan Bush mendapat keputusan baik pada pengundian di Carolina Selatan.
“George W. Bush buat silap. Kita semua melakukan kesilapan. Namun, kesilapannya luar biasa. Mereka (pentadbiran George W. Bush) berbohong! Mereka berkata, Iraq miliki senjata pemusnah besar-besaran. Senjata itu sebenarnya tiada,” kata Trump.
Bush yang merupakan bekas Gabenor Florida pula mengkritik Trump kerana memuji Presiden Rusia, Vladimir Putin.
Beliau berkata, Putin mengundang huru-hara di Syria dengan melancarkan serangan udara kerana menyokong tentera Presiden Bashar Al-Assad. Washington sebelum ini mahu menyingkirkan Bashar.
Bush turut mempertahankan keluarganya.
“Saya bosan mendengarnya (Trump) mengkritik keluarga saya. Trump hanya pandai bersandiwara tetapi abang saya membangunkan sistem keselamatan supaya kita semua selamat. Saya berbangga dengan apa yang dilakukan olehnya.
“Trump juga berani mengkritik ibu saya,” kata Bush ketika mengingatkan penonton bahawa Trump pernah mengecam ibunya yang berusia 90 tahun, Barbara Bush.
“Beliau ialah wanita paling kuat yang saya ketahui,” kata Bush.
“(Kalau begitu) ibu kamu patut bertanding sebagai calon Presiden AS (bukan kamu),” balas Trump.