Viral Kes Culik Hanya Masalah Rumahtangga

ALOR SETAR: Polis daerah Kuala Muda mengesahkan tidak menerima sebarang laporan mengenai kejadian sebuah kereta Perodua Myvi mencurigakan yang didakwa menceroboh Plaza Tol Gurun, dekat sini, yang dikatakan membabitkan penculikan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa, berkata sebaliknya kes membabitkan pergelutan yang didakwa berlaku itu hanyalah membabitkan masalah rumah tangga.
Mengulas lanjut, katanya, hasil pemerhatian daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan siasatan polis terhadap pemilik kenderaan terbabit mendapati ia milik seorang lelaki dari Kelantan dan kenderaan itu ketika kejadian sebenarnya dipandu anaknya bersama menantu.
"Siasatan lanjut kemudian dilakukan dan kita mendapati kejadian berkenaan berlaku disebabkan masalah rumah tangga dan tiada kaitan langsung dengan kes penculikan.
"Setakat ini, tiada sebarang laporan diterima daripada pihak PLUS (PLUS Malaysia Berhad) atau pihak lain," katanya ketika diminta mengulas laporan kejadian itu yang disebar sehingga menjadi viral di media sosial, hari ini.
Berdasarkan maklumat yang dimuat turun itu, sebuah kereta jenis Perodua Myvi bernombor pendaftaran Terengganu, dikatakan menceroboh Plaza Tol Gurun, dengan seorang wanita disyaki diculik menjerit meminta tolong dan cuba melepaskan diri daripada kenderaan itu.
Turut dimuat naik foto kereta Perodua Myvi berwarna putih itu dengan kesan kemek pada bahagian hadapan sebelah kiri, yang didakwa dirakam di Plaza Tol Gurun.

Post a Comment

Previous Post Next Post