Wanita Bangladesh jadi hamba seks | Puluhan wanita Bangladesh telah termakan janji manis untuk mendapatkan pekerjaan yang lumayan di negara-negara Timur Tengah namun, hasrat mereka bertukar menjadi mimpi ngeri apabila dijadikan sebagai pelayan dan hamba seks di negara Syria yang kini sedang bergolak.
Ketua bahagian Rapid Action Batallion (RAB), salah satu unit di jabatan polis negara Bangladesh, Khadaker Golam Sarowarmenyatakan bahawa unit tersebut sehingga kini telah menangani 45 kes pengeksploitasian wanita melibatkan penderaan dan rogol di Syria sepanjang tahun 2015.
Menurut Sarowar, kesemua kes yang dilaporkan diunit tersebut bermula apabila seorang wanita, Shahinoor yang dilaporkan hilang di Syria telah menelefon ibunya di kampung halaman, sebelum meminta RAB untuk melakukan siasatan lanjut terhadap kes Shahinoor lapor Malaysiandigest.
Gambar: Wanita dari Bangladesh diseludup ke Syria sebagai hamba seks |
"Shahinoor sepatutnya pergi ke Lubnan tetapi dia dibawa lari bersama lima orang perempuan yang lain ke Dubai sebelum didapati telah diseludup masuk ke Syria untuk dijual sebagai pembantu rumah atau hamba seks," jelas Sarowar kepada Reuters.
Ketika laporan itu diterima, Shahinoor berada dalam keadaan kritikal dan tidak dapat bergerak. Pejabat Kedutaan Bangladesh di Syria akhirnya menerbangkan Shahinoor ke Dhaka dan disahkan menghidap sakit buah pinggang yang kronik.
Organisasi Perpindahan Antarabangsa (IOM) menganggarkan terdapat 8 juta pekerja Bangladesh yang bekerja di luar Bangladesh di mana majoritinya ditempatkan di negara Teluk, Asia Tenggara dan Asia Selatan.
Mereka memilih negara-negara tersebut secara sukarela namun mereka terperangkap dengan keadaan kerja mereka kerana majikan yang bersikap tidak acuh mengenai pembayaran upah sehingga menjurus pekerja-pekerja ini untuk hidup dalam keadaan yang menyayat hati.
Menurut Sarowar lagi, Syria menjadi destinasi yang baru bagi sindiket penyeludup manusia dan mengambil wanita yang ingin mendapatkan pekerjaan di Jordan dan Lubnan sebagai mangsa mereka.
Dari negara Teluk tersebut, pekerja-pekerja perempuan ini kemudiannya diseludup ke Syria.
Mereka diniagakan kepada beberapa orang penting yang terlibat dalam sindiket ini dan peluang untuk melarikan diri adalah sangat tipis.
Kini, pihak berkuasa telah menahan 8 suspek di Bangladesh yang disyaki sebagai agen atau perekrut yang terlibat dalam jaringan pemerdagangan manusia di peringkat antarabangsa.
Bagaimanapun, konco-konco penyeludup manusia yang berada di Syria, Lubnan dan Jordan masih tidak dikenalpasti oleh RAB.
Pihak berkuasa akan terus bekerjasama untuk membongkar kegiatan ini kerana wanita-wanita yang menjadi mangsa penyeludupan ini kebiasaannya berasal dari kampung dan tidak berpendidikan ataupun mengetahui apa-apa mengenai Syria yang kini sedang bergolak.
"Mereka fikir mereka akan pergi Lubnan dan Jordan untuk mendapatkan kehidupan yang lebih baik tetapi tidak sama sekali," tambah Sarowar.
Tags:
mazeer