DARIPADA seorang wanita yang langsung tidak yakin untuk mengambil gambar selfie, kini Lin sudah yakin untuk melakukannya selepas berjaya melalui satu transformasi wajah ekstrem.
Lin atau atau nama sebenarnya Wongtawan Lin Panuprateep merupakan peserta pertama program Let Me In Thailand yang telah menerbangkan Lin ke negara yang terkenal dengan pembedahan plastik, Korea Selatan bagi melakukan perubahan besar terhadap wajahnya lapor Mynewshub.
Dalam program itu Lin, 23, menceritakan pengalaman hidupnya terpaksa berhenti belajar di sebuah universiti kerana keluarga tidak mampu untuk menampung yuran pengajiannya.
Selepas itu dia cuba mencari pekerjaan namun disebabkan wajahnya, dia langsung tidak diberikan sebarang peluang oleh pihak majikan.
“Saya mahu mencari pekerjaan yang bagus sebab saya mahu berikan kehidupan lebih baik buat ibu saya,” ujarnya yang berusaha untuk mengubah diri selepas melalui beberapa kegagalan dalam mendapatkan pekerjaan.
Selepas terpilih menjadi peserta rancangan tersebut, Lin menjalani pembedahan plastik di bahagian muka dengan doktor pakar yang mengatakan, bahagian rahang merupakan cabaran terbesar buat mereka dalam operasi tersebut.
Pembedahan itu melibatkan penstrukturan semula gigi, rahang, mata dan hidung selain penggunaan botox hingga hasil akhirnya menampilkan perubahan 100 peratus ke atas wajah Lin menjadi seorang wanita yang baharu.
“Saya menyukai wajah ini. Saya rasa sangat gembira, ini merupakan peluang terbaik pernah diberikan kepada saya dalam seumur hidup,” ujarnya.
Let Me In Thailand merupakan sebuah program realiti yang diceduk konsepnya menerusi rancangan yang sama terbitan Korea Selatan.
Episod pertamanya mula bersiaran pada Januari lalu.
Tags:
mazeer