Penjelasan Sebenar Kenapa Simcard Tone Excel Haram

Di sebalik #kisahbata dan Simcard Tone Excel - Satu Pandangan

Terlalu banyak pertanyaan diterima tentang #toneexcel. Saya pernah tulis di muamalat.my tapi tidak menjawabnya secara 'direct to the point'. Kali ini supaya lebih faham, terutama para ustaz dan penuntut muamalat, perhatikan baik-baik.

Penjelasan Sebenar Kenapa Simcard Tone Excel Haram

Dalam proses 'tahqiq al-manat', situasi ini, dalam usul fiqh (teori hukum Islam) dikenali sebagai 'al-khafi'. Al-khafi ialah satu situasi yang mana 'al-manat' atau objektif hukum itu sudah jelas pada peringkat teori, tapi kabur dalam aspek pelaksanaannya, lantaran kesukaran kita untuk mengkonsepsikan realiti dalam bentuk yang jelas. Yang kabur itulah saya jelaskan dalam bentuk tamsilan mudah melalui #kisahbata.

Tulisan ini dipetik menerusi Facebook Page muamalat.my

Simcard Tone Excel Haram Kerana Berunsur Helah dan Riba - PhD Islamic and Banking

#kisahbata sebenarnya bertujuan untuk menjelaskan hakikat sebuah perniagaan. Adakalanya kita dikelirukan dengan kewujudan produk, akad, dan perniagaan. Kekeliruan ini tidak sekadar mengelabui mata pencinta harta, bahkan mengelirukan para ustazah dan para penuntut muamalat Islam. 

Daripada contoh #kisahbata, kita dapat lihat wujud unsur utama kontrak. Iaitu, akad yang jelas, produk yang 'real', dan kelebihan yang betul. Namun, 'common sense' kita dapat kesan bahawa kontrak itu bukanlah jual beli yang sebenar yang diiktiraf oleh agama. Adakah boleh kita jual bata itu harus, kerana kita tidak memaksa pembelinya untuk menjual bata jenama yang sama kepada orang lain? Adakah boleh kita katakan harus, jual bata dengan harga setinggi itu, hanya kerana adanya 'mutual consent'? Walaupun bata itu ada gunanya untuk membuat rumah, tapi itu bukan tujuan utama pembeli bata. Pembeli bata tidak mahu produk, tapi mahu kelebihan yang lain. Dan kelebihan yang lain itu tidak akan diperolehi kecuali dengan menjual bata yang mahal itu, sedangkan bata lain yang murah yang seumpamanya ada di pasaran.

Inilah yang berlaku dalam simcard TE, yang merupakan simcard Tune Talk yang dimahalkan harganya hanya kerana untuk menjana pendapatan pasif. 

  • Anda boleh dapatkan sim kad TuneTalk dengan harga RM30 (termasuk GST) dengan kredit isian RM45 + 1.5GB data! Tapi ToneExcel harganya RM98.60 (termasuk GST).Perbezaan harga sangat ketara.
  • Semua kelebihan yang dinyatakan dalam TE ada dalam TT. Jadi mengapa TE perlu mahal? 
  • Call rate TE sangat mahal 28 sen berbanding TT 16 sen, 75% lebih mahal berbanding TT. Tidaklah menguntungkan jika setiap kali topup dapat bonus, atau downline yang topup, upline dapat percentage bonus, kerana anda telah bayar lebih 75% daripada produk asal. Anggarkan jika penggunaan RM160 TT, pengguna TE bayar RM280!.
  • Produk TE menawarkan point untuk beli tiket AirAsia, produk TT pun sama.
  • Produk TE menawarkan insurans konvensional sama seperti TT. Ini pun satu masalah, apabila secara tidak langsung anda terlibat dengan insurans konvensional. Syaratnya topup RM50. 


Ringkasnya, semua harga termasuk sim card dan kos panggilan dinaikkan, hanya untuk mencipta satu skim pendapatan pasif, sama sahaja 100% dengan #kisahbata yang anda baca. 

Kita tidak kisah jika Simcard ToneExcel mahal jika :

  • Nombornya cantik, contohnya 0111-999 2020, at least berbaloi; atau
  • Tempoh jangka hayat yang panjang, contohnya tak perlu topup 8 tahun, berbaloi; atau
  • Data 100GB sebulan free, at least, berbaloi
  • Atau apa sahaja yang common sense atau 'uruf masyarakat boleh nilai sebagai berbaloi. Tapi ia tidak wujud dalam produk ini kecuali dengan menjual semula kepada orang lain.


Di kala masyarakat kita sibuk membantah GST cuma 6% untuk kredit tambah nilai, TE menaikan harga Simkad mereka sehingga lebih 300% dan menaikkan kadar panggilan sehingga 75% hanya untuk menghidupkan skim pendapatan pasif dengan jualan semula.

Jelas, tanpa berselindung lagi, saya kali ini tidak dapat mencari sebarang alasan untuk tidak mengatakan simcard ini adalah berunsur piramid, gharar, dan mengandungi unsur al-ghubn al-fahisy, iaitu eksploitasi kerelaan untuk mendapatkan keuntungan yang berlebihan. 

Jika dilihat pula fatwa-fatwa antarabangsa tentang isu produk yang dinaikan harga seperti ini, dan tujuannya iaitu untuk mewujudkan satu sistem piramid, menurut fatwa oleh Lajnah al-Buhuth wa al-Ifta, Arab Saudi, juga oleh Darul Ifta', Jordan, Darul Ifta Mesir, adalah haram kerana berunsur riba (secara helah), gharar, dan eksploitasi kerelaan.

Walaupun produk itu wujud, tapi produk itu bukanlah sesuatu yang diinginkan, yang diinginkan adalah keunntungan hasil jualan semula produk yang sama yang mahal, sedangkan produk lain seumpamanya wujud di pasaran. Menurut mereka, alasan wujudnya barang untuk dikatakan sebagai harus, tidak boleh dipakai kerana produk hanya helah, yang dikehendaki bukan produk. Kalau inginkan produk, beli sahaja TT, lebih murah.

Produk ini juga tidak menepati kriteria produk yang digariskan oleh Garis Panduan MLM JAKIM iaitu kerana melibatkan elemen riba.

(a) Harga bagi produk yang ditawarkan oleh syarikat hendaklah munasabah, berpatutan, tidak melampau dan berkadaran dengan jenis dan kualiti barang perkhidmatan.

Namun, ada cara untuk jadikan produk Skim TE ini agak patuh Syariah. Tidak susah bagi pemasaran yang ada produk untuk jadi patuh Syariah. Caranya ialah jadikan simkad ini berbaloi kepada pembeli dengan harga yang mahal, seperti yang dinyatakan di atas. Cadangan saya, berikan nombor yang cantik dan berbaloi, atau tempoh jangka hayat yang panjang dan berbaloi, atau paling kedekut pun panggilan yang sangat rendah berbaloi dengan simkad yang dibayar. Bukan beri kelebihan kerana menjual semula sim kad itu. 

Ya, mungkin sah di sisi undang-undang, tapi dalam dunia kapitalis sekarang ini, banyak perniagaan yang "legally right but morally wrong". Sebenarnya tanpa melihat hukum agama pun, common sense boleh menilainya. 

Sebagai kesimpulan, ini sekadar pandangan peribadi berasaskan penelitian saya, dan pandangan saya tidak mengikat anda untuk menerimanya. Anda bebas untuk bersetuju atau tidak. Cuma jika anda tidak bersetuju dengan pandangan ini, anda mungkin boleh bersetuju jika kita jual bata binaan itu dijual dengan harga RM100 sebiji!

Wallahu A'lam. 

Rujukan maklumat:

#kisahbata #toneexcel

Post a Comment

Previous Post Next Post